Pemain Selangor, Wan Zack Haikal Wan Noor memasang azam untuk bangkit dengan cemerlangnya selepas mengalami kecederaan lutut buat kali kedua.
Menurut The Star Online, Zack jelas bersyukur kerana masih lagi mampu untuk bermain walaupun mengalami kecederaan yang cukup bahaya.
“Sudah lama saya tidak bermain. Pada permulaannya ianya cukup mencabar tetapi saya akan bangkit dengan lebih kuat selepas ini.”
“Isteri dan tiga anak saya ada bersama di sisi. Proses pemulihan cukup sukar dan ada kalanya saya berasa sedih kerana itu.”
Zack tidak melakukan sebarang penampilan kompetitif buat Selangor sejak ketibaan beliau pada musim lalu.
Namun begitu, beliau berazam untuk menjadikan musim 2020 sebagai titik tolak permulaan kariernya bersama Gergasi Merah.
Buat masa ini, ianya hanyalah proses untuk membina semula keyakinan diri buat Zack dalam misi merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Saya cuba untuk membina semula keyakinan menerusi latihan dan juga perlawanan persahabatan. Pra-musim kali ini dilihat lebih baik dan juga sistematik.”
“Saya juga berharap dapat lebih banyak peluang untuk bermain dan kembali ke skuad kebangsaan pada tahun ini. Hanya kerja keras akan membawa saya ke sana.”