Wan Kuzain Sedia Bawa Cabaran Malaysia Di Sukan SEA

Pemain berdarah Malaysia yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal bersedia untuk mewakili pasukan negara di temasya Sukan SEA di Filipina, jika khidmat beliau diperlukan.

Sebelum ini pengendali skuad Bawah-22 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan Wan Kuzain adalah antara pemain yang akan dipanggil untuk menjalani latihan pusat pada 4 November hadapan untuk persiapan ke temasya dwi tahunan tersebut.

Namun melalui satu laporan oleh Bernama semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata pemain itu harus hadir awal ke Malaysia untuk menyelesaikan kes dokumentasi melibatkan pasport pemain tersebut.

Menjelaskan situasi Wan Kuzain, ayahnya, Wan Kamal ketika dihubungi oleh Semuanya BOLA berkata:

“Sebenarnya ketika dia [Kuzain] masih bayi, kami ada memohon untuk pasport Malaysia, namun tidak pernah menggunakan atau memperbaharuinya,” ujar Wan Kamal membuka kata ketika ditanya oleh wakil kami.

“Saya tidak pasti status rakyat Malaysia Kuzain pada hari ini, kerana selama ini dia menggunakan pasport Amerika Syarikat untuk pergi ke mana-mana.

“Menurut Kuzain dan ejen beliau kepada saya, perkara [isu pasport] ini sudah berada bersama Kerajaan Malaysia untuk diselesaikan.

“Selepas skandal myKad palsu yang berlaku baru-baru ini, kita harus faham mengapa Kerajaan Malaysia harus berhati-hati mengenai isu kerakyatan.

Kehadiran awal Wan Kuzain ditagih FAM.

Posted by Semuanya BOLA on Friday, October 25, 2019

“Jadi sekarang ia terpulang kepada Kerajaan Malaysia. Jika ianya gagal diselesaikan, maka Kuzain tidak akan terbang kembali ke Malaysia, dan sebaliknya.

“Bagaimanapun Kuzain akan sentiasa bersedia (jika diperlukan) dan tetap memberikan sokongan kepada cabaran pasukan negara di Sukan SEA nanti. Saya difahamkan Kementerian berkaitan sedang berusaha keras menyelesaikan perkara ini.”

Ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Kuzain hanya mahu menggunakan peluang beraksi bersama pasukan negara di temasya Sukan SEA sebagai batu loncatan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Wan Kamal menafikan perkara tersebut.

“Pertama kali, saya mahu tegaskan sesiapa sahaja boleh mengkritik Kuzain asalkan ia menjurus kepada kebaikkan dan boleh membantu bola sepak Malaysia.

“Tetapi saya kurang senang apabila kenyataan saya sebelum ini diputarbelit. Sebagai contoh, saya tidak pernah berkata Kuzain berniat menggunakan Sukan SEA untuk memberikan kelebihan kepada dirinya.

“Di pihak Kuzain, kami tidak pernah berkecil atau terasa hati jika Kuzain dikritik kerana telah melalui banyak perkara dan cabaran dalam membangunkan bakat Kuzain sebelum ini.

“Jangan manipulasi apa yang saya katakan, dan saya hanya meminta semua pihak untuk jujur dalam membantu semua pemain [muda] bola sepak negara,” tambah beliau lagi.

Wan Kuzain kini berusia 21 tahun dan merupakan seorang pemain tengah bertahan.

Beraksi dalam enam perlawanan bersama Sporting Kansas City di Major League Soccer (MLS), Kuzain menjaringkan satu gol, sebelum dipinjamkan kembali kepada Swope Park Rangers – untuk terus mengembangkan potensi dan mendapatkan lebih banyak minit perlawanan.

Selain daripada kebolehan untuk menggerakan jentera tengah, Kuzain juga adalah seorang pemain yang mampu memberikan ancaman dari situasi bola mati.

Dan sepertimana pemain-pemain yang lain yang berpengkalan di luar negara, Kuzain juga sedar beliau perlu bekerja keras meyakinkan Datuk Ong Kim Swee untuk berada di dalam skuad akhir ke Filipina.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN