Mungkin ini merupakan berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak Malaysia. Bapa Kepada Wan Kuzain, Wan Kamal telah mengesahkan anaknya itu berhasrat untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
Perkara tersebut dinyatakan menerusi satu komen di Facebook di mana pemain berdarah Malaysia yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) itu telah bercakap dengan ibunya untuk membantu Malaysia di peringkat antarabangsa.
According to his father, Wan Kuzain is keen on representing Malaysia. pic.twitter.com/VsIME8K9uX
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) June 14, 2021
Wan Kuzain ketika ini beraksi cemerlang bersama kelab baharunya Rio Grande Valley di Kejuaraan USL. DAlam tujuh perlawanan setakat ini, beliau telah menyumbang dua gol dan membantu pasukannya kekal di tangga teratas kumpulan Western Conference Mountain.
Terbaharu, jaringan tunggalnya memastikan Toros menewaskan Real Monarch dan beliau telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Kuzain catches them slacking and puts one up for the 956. 🔥#ParaElValle | @HEB pic.twitter.com/phxDRARPL5
— Rio Grande Valley FC Toros (@RGVFC) June 13, 2021
Sebelum ini pemain berusia 22 tahun itu memuat naik satu emoji misteri sambil berkongsi pengumuman Persatuan Bola Sepak Malaysia yang mengesahkan Dion Cools sebagai pemain ke-26 yang akan menyertai pasukan negara untuk menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Maka perkembangan terbaharu ini telah menjawab persoalan mengenai emoji tersebut dan tentunya Persatuan Bola Sepak Malaysia akan mengambil tindakan lanjut bagi membawa pemain muda berbakat itu bersama skuad negara dalam tugasan antarabangsa pada masa akan datang.
Wan Kuzain sebelum ini belum pernah dipanggil menyertai pasukan senior kebangsaan, namun pernah menerima panggilan pasukan B-23 negara di bawah kendalian Ong Kim Swee.
Beberapa masalah termasuk hal dokumentasi menyebabkan pemain itu tidak dapat bersama pasukan negara menghadapi kempen Sukan SEA 2019 di Filipina.