Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat tidak mahu berasa selesa untuk memburu tiket kesebelasan utama di Sabah atas kapasiti pengalaman beliau sebelum ini dengan menganggap persaingan sengit mungkin berlaku untuk merebut posisi utama.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL) semalam, Fahmi yang juga merupakan anak jati Kelantan menganggap Damien Lim merupakan seorang penjaga gol yang berkualiti sehingga berjaya mencuri hati pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee untuk memperkuatkan gawang pasukan.
“Saya setuju dengan apa yang pernah dikatakan oleh Damien, iaitu akan berlaku persaingan sengit antara kami dan penjaga gol lain bagi merebut tempat. Apabila kami berada dalam satu pasukan yang sama, semua pemain akan bersaing bersungguh-sungguh dan ini sebenarnya akan menjadi motivasi kepada saya juga.”
Beliau juga memberitahu alas an mengapa beliau berpindah ke Sabah sebelum ini adalah disebabkan kredibiliti Kim Swee, selain teruja dengan kehadiran pemain bintang lain seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.
Pemain berusia 32 tahun itu juga mempunyai sasaran peribadi iaitu membantu Sabah mencipta seberapa kejayaan yang mampu untuk menaikkan kembali nama pasukan.
“Sudah tentu saya ingin capai sesuatu bersama Sabah yang belum pernah mereka capai sebelum ini dan saya ingin menjadi sebahagaian sejarah baharu dengan pasukan ini.”
Tambah beliau,”dengan kehadiran pemain baharu yang lain ke Sabah, sudah pasti ramai yang meletakkan harapan tinggi dan jika diberi masa, saya percaya kami mampu buat yang terbaik untuk membanggakan penyokong Sabah pada musim ini.”
Pada musim lalu, Sabah menamatkan persaingan Liga Super dengan berada di tangga Sembilan selain berjaya mara sehingga ke suku akhir Piala Malaysia 2021.