Penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi mungkin sedang menikmati prestasi yang baik bersama-sama Harimau Malaya terutamanya persembahan cemerlang di King’s Cup baru-baru ini.
Namun begitu, beliau yang kini dilihat menjadi calon utama jersi nombor satu negara tidak akan sesekali melupakan misinya bersama Negeri Sembilan.
Sedang Syihan sedang mengejarkan misi Piala AFF 2022 dan Piala Asia 2023, beliau tidak melupakan sasaran untuk ke Asia bagi Negeri Sembilan untuk musim depan.
“Syukur, saya tidak begitu perlukan pujian dan apa yang saya mahu adalah doa, buat saya serta pasukan.
“Pujian boleh jadi pembakar semangat saya untuk terus majukan diri jadi lebih baik.
“Apa yang saya dapat sekarang adalah sebab doa. Sekarang fokus saya untuk Negeri Sembilan,” kata Syihan menerusi Shoot!.
Setakat ini, Negeri Sembilan berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan mengumpul 35 mata. Mereka begitu hampir dengan Sabah yang mengumpul 36 mata.
Jadi, tidak hairan jika skuad Jang begitu ‘berselera’ untuk layak ke saingan Asia kerana mereka begitu hampir untuk memperolehnya dan anak-anak buat K. Devan tidak sanggup terlepas slot tersebut.
Semua ejen yang buat
Dalam masa yang sama, Syihan juga menegaskan yang masa depannya masih lagi belum dapat ditentukan sepenuhnya.
Hal ini kerana, segalanya diserahkan kepada ejen beliau untuk menilai mana satukah yang lebih baik untuk kariernya.
Syihan sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pasukan untuk musim hadapan namun begitu belum lagi ada kata putus sama ada beliau mahu kekal di Paroi atau sebaliknya.
“Belum ada sebarang keputusan dibuat. Saya tidak pasti, semua itu ejen saya yang akan uruskan,” jelas Syihan.