Kecederaan teruk yang menimpa penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi ketika beraksi menentang Negeri Sembilan tidak akan merencatkan usahanya untuk terus berbakti buat Tok Gajah.
Semalam, Izham mengalami kecederaan di kepala ketika perlawanan yang diadakan di Paroi dan ini memberikan kegusaran kepada Sri Pahang yang mungkin perlu menggunakan penjaga gol lain.
Akan tetapi, bercakap selepas perlawanan, Izham memberikan isyarat yang dirinya mampu untuk terus beraksi dan akan terus bersama pasukan untuk perlawanan kedua Liga Super menentang Kelantan.
“Alhamdulillah, saya dalam keadaan sihat, baik.
“Cuma ada sedikit jahitan, jadi tiada masalah. InsyaAllah, saya akan bangkit untuk perlawanan seterusnya atau akan datang,” kata Izham menerusi Twitter Sri Pahang.
Speedy recovery Izham Tarmizi ! ❤️
Alhamdulillah, Izham Tarmizi dalam keadaan yang baik dan telah menerima rawatan yang sepatutnya sejurus berlakunya insiden pelanggaran dengan pemain Negeri Sembilan FC. pic.twitter.com/IH64eGhagT
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) February 27, 2023
Kecederaan yang dialami pemain ini dilihat serius kerana ianya berlaku di kepala dan memerlukan rawatan dan rehat yang mencukupi sebelum boleh kembali beraksi dengan 100% pulih.
Bagaimana pun, Izham tetap bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan beliau dan pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim ini pastinya tidak sabar untuk terus membantu Sri Pahang.
“Terima kasih kepada semua penyokong, dan terima kasih kepada kawan-kawan dan sahabat semua yang mendoakan saya. Terima kasih,” ujar Izham lagi.
Sri Pahang semalam terikat seri menentang Negeri Sembilan di Paroi selepas Casagrande meletakkan tuan rumah di depan sebelum Malik Ariff menyamakan kedudukan buat pelawat.
Aksi seterusnya menanti Sri Pahang adalah di laman sendiri dengan melayan kunjungan Kelantan yang kalah kepada Kuching City dalam perlawanan pertama mereka.