Situasi perpindahan pemain Barcelona, Frenkie de Jong ini masih lagi menjadi tanda tanya – jadi ke tak jadi ni?
Drama perpindahan pemain tengah Belanda ini masih lagi tidak menemui episod akhirnya walaupun ianya sedikit sebanyak sudah mula menampakkan klimasknya.
Barcelona dan juga United dikhabarkan sudah bersetuju dengan nilai perpindahan untuk De Jong. Kini, hanyalah pengesahan sahaja mengenai perpindahan tersebut.
Di peringkat kelab, semuanya baik-baik saja. Akan tetapi, masalah masih lagi terletak kepada De Jong yang jelas sekali tidak mahu berpindah.
Laporan dari Sepanyol mendapati yang ejen De Jong, Ali Dursun mendedahkan yang beliau telah bertemu dengan wakil dari United untuk menolak sebarang tawaran dari kelab itu.
Dursun yang bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif United, Richard Arnold dan pengarah bola sepak, John Murtough baru-baru ini, telah menolak lamaran The Red Devils bagi pihak De Jong.
De Jong sejak awal lagi dikatakan tidak mahu untuk meninggalkan Barcelona dan ingin terus bersama-sama revolusi Xavi.
Namun atas faktor kewangan yang meruncing melibatkan Barcelona, kelab itu memilih untuk melepaskan pemain tersebut untuk membolehkan mereka ada sedikit dana bagi meraih pemain lain.
Kini, servis di tangan De Jong. Beliau sendiri akan menentukan perpindahan ini akan terjadi atau tidak.
Jika De Jong berkeras untuk tidak menerima tawaran United yang pastinya lumayan, ia sudah pasti akan menamatkan drama ini dan pemain itu akan terus kekal di Nou Camp.
Namun, melihat kepada rekod lalu, seandainya De Jong kekal, beliau berpotensi akan dilayan seperti ‘orang buangan’ saja oleh pengurusan kelab.