Kapten Negeri Sembilan, Zaquan Adha mendedahkan beliau tidak mengalami sebarang tekanan untuk memakai lilitan berkenaan walaupun pasukannya kini bakal beraksi di Liga Super yang bakal membuka tirai perlawanan tidak lama sahaja lagi.
Bekas penyerang berbisa skuad Harimau Malaya itu sebaliknya menganggap tugas yang dipikul beliau sebagai kapten merupakan satu tangggungjawab yang perlu digalas dengan baik dalam usaha membawa nama pasukan diwakilinya ke mercu kejayaan.
“Saya tidak merasa tertekan dengan tanggungjawab itu kerana sebenarnya ia tanggungjawab bersama dengan rakan lain dalam pasukan.
“Walaupun sebagai kapten pasukan, tapi bukan semua orang perlu dengar cakap saya kerana yang penting adalah sama-sama memberikan sumbangan terbaik demi kejayaan pasukan.
“Antaranya kami perlu berkongsi idea yang baik kerana masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri dalam mengharungi saingan liga dan perlu sama-sama menghadapi perjuangan ini untuk kejayaan pasukan,” katanya hari semalam menerusi Berita Harian.
Ketika ditanya beliau mengenai sasaran yang telah diletakkan untuk pasukan iaitu untuk terus kekal dalam kelompok pasukan Liga Super, bekas penyerang Kedah itu menjelaskan ianya sangat realistik jika dilihat pada persiapan semasa pasukan dan tekan yang diletakkan buat para pemain juga tidak terlalu besar.
Tambah beliau, untuk ketika ini rakan sepasukannya yang lain turut tidak sabar untuk memulakan aksi saingan Liga Malaysia musim ini dengan bersemangat serta masing-masing dilihat begitu optimis dengan pasukan diwakili mereka mampu bertahan lebih lama dalam saingan Liga Super musim ini.
“Saya optimis dengan sasaran pihak pengurusan, pasukan perlu ada saingan yang lebih kompetitif supaya kami dapat menambah baik prestasi pasukan.
“Saya mahukan nama Negeri Sembilan terus kekal dalam kelompok liga utama negara ini kerana pasukan ini pernah berada di kemuncak kejayaan dan seharusnya kedudukan itu dikekalkan,” katanya.
Untuk persiapan pasukan Negeri Sembilan setakat ini, pasukan tersebut telah pun melengkapkan lima import untuk dibawa bersaing dalam saingan Liga Malaysia musim ini dengan rekrut mereka iaitu Herold Goulon yang berasal dari Perancis, Omid Nazari dari Filipina, Matheu Alves dari Brazil, David Mawutor dari Tajikistan serta Adetu Kossi dari Togo.
Selain itu, Negeri Sembilan juga diperkuatkan dengan bekas pemain Selangor iaitu Sean Selvaraj selain pemain muda berbakat, Selvan Anbualagan yang bakal membawa cabaran besar skuad tersebut musim ini.