Quantcast

BERITA

Wakil Pasukan Liga Malaysia Mengeluh Geran Tahunan Masih Belum Diterima

Saingan Liga Malaysia sudah hampir ke penghujungnya namun semua pasukan Liga Super dan Liga Premier sehingga kini masih belum menerima geran tahunan masing-masing.

Menurut laporan daripada Arena Metro, salah seorang daripada wakil Liga Malaysia berharap pihak badan pertadbir Liga Malaysia iaitu Malaysia Football League (MFL) dapat menyelesaikan segera masalah ini kerana mereka amat memerlukan dana tersebut untuk menampung kos pasukan pembangunan seperti Piala Presiden dan Piala Belia.

“Sudah beberapa kali MFL berjanji, tapi masih lagi tak ada, persoalannya betul ke ada geran musim ini? Bukan kita sengaja nak timbulkan isu, cuma sebagai pemegang taruh yang memberi kepercayaan kepada MFL, kita mahukan perkembangan positif daripada mereka.

“Kalau ikutkan bajet pasukan, memang ia termasuk sekali dengan geran. Untuk pasukan utama tak ada masalah, cuma jika ada geran itu, ia dapat membantu pasukan pembangunan,” katanya seperti dipetik dalam Arena Metro.

Sebelum ini, MFL menyangkal dakwaan sebuah akhbar tempatan mengenai geran tahunan akan diserahkan pada bulan Ogos ini kepada semua pasukan Liga Malaysia.

Biarpun berdepan kesulitan untuk membantu semua pasukan mendapatkan geran tahunan, MFL yang diterajui oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim tidak hanya berpeluk tubuh sebaliknya terus berusaha mendapatkan penajaan baharu selepas ketiadaan penaja utama Telekom Malaysia (TM).

Menurut kenyataan rasmi yang disiarkan di laman web MFL, mereka kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan penajaan baharu dan akan mengumumkan dalam masa terdekat.

“Buat makluman semua, MFL kini dalam fasa terakhir untuk memutuskan penajaan baharu Liga Malaysia selepas penamatan kontrak dengan Telekom Malaysia (TM) pada 15 Mac lalu dan perkembangan mengenai penajaan baharu ini bakal diumumkan hujung bulan ini.

“MFL juga mengesahkan tidak pernah memaklumkan kepada rakan kongsi untuk menyerahkan geran tahunan pada Ogos ini dan jelas laporan yang disiarkan itu tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat tepat,” jelas kenyataan tersebut.

Tidak dinafikan, geran tahunan tersebut adalah hak pasukan-pasukan bertanding, namun kebergantungan penuh kepadanya seakan-akan pasukan Liga Malaysia tiada sumber lain.