Quantcast

BERITA

Wakil Pasukan Liga M3 Puas Hati MFL & AFL Kotakan Janji

Beberapa pasukan Liga M3 berpuas hati dengan usaha yang telah dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) yang mengotakan janji mereka dalam meringankan beban pasukan bagi harungi saingan musim ini.

Penolong Setiausaha Penjara FC, Zainal Abiddin Hassan menyifatkan langkah MFL dan AFL yang melakukan pembayaran terus elaun kepada pengadil sejak perlawanan kelapan Liga M3 pada 15 Jun lalu sememangnya membantu kewangan pasukan dengan lebih baik.

Sebelum ini, setiap pasukan Liga M3 perlu mengeluarkan duit terlebih dahulu untuk membuat pembayaran elaun kepada pengadil.

Zainal Abiddin Hassan

Kini MFL mengambil keputusan untuk membayar secara terus elaun berkenaan tanpa melibatkan pihak ketiga selepas satu perjumpaan khas yang diadakan pada Mei lalu.

Selain itu, pasukan-pasukan Liga M3 turut menikmati pemotongan sebanyak 50 peratus bagi kos tiket penerbangan bagi mana-mana pasukan yang bertemu Kuching FA di Sawarak.

“Sebaik bayaran kepada pengadil sudah dilakukan secara bayaran secara terus oleh MFL, kewangan kami boleh bertahan untuk sehingga penghujung musim ini.

“Kelab kami ini hanya tertumpu hasil kewangan kelab sahaja dan kami kekurangan penajaan dan apabila segi kewangan ini dibantu terutama pembayaran pengadil, kami tidak berdepan beban berat lagi,” katanya.

Sementara itu, pengurus Protap FC, Shafiq Ikmal akui pasukannya juga menerima kesan positif melalui bantuan diberikan MFL dan AFL malah kos pengelolaan mereka berkurang sebanyak 20 peratus pada tiap perlawanan.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih di atas kesudian MFL yang bersetuju memberikan pulangan perbelanjaan 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan ke Kuching walaupun Protap telah bermain di sana pada Mac lalu.

Shafiq Ikhmal

“ Satu perlawanan kos elaun pengadil bagi tiap pasukan tuan rumah adalah RM 1,770 dan jumlah ini adalah sama bagi tiap pasukan untuk 13 perlawanan.

“ Jika dikira secara kasar, ia meliputi kira-kira 20 peratus daripada perbelanjaan bagi anjurkan tiap perlawanan dan ia sememangnya menjimatkan kos operasi tiap pasukan.

“ Kami telah terbang ke Kuching pada Mac lalu dan kos tiket kami mencecah RM 10,000 dan perjumpaan antara MFL serta AFL dilakukan selepas dua bulan tempoh berkenaan.

“ Namun MFL masih bersetuju untuk beri pulangan 50 peratus, sama seperti semua pasukan lain dan saya rasa ini langkah terpuji oleh MFL kerana berlaku adil kepada semua pasukan,” ujarnya.

Kredit foto: Protap FC