Inisiatif yang dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL) untuk mengatasi isu pasukan belanja berlebihan jelas menarik perhatian La Liga.
Menurut wakil deligasi mereka di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi, beliau cukup optimis untuk menyaksikan bagaimana peraturan kawalan ekonomi MFL dilaksanakan kelak.
Sebelum ini, La Liga juga pernah melakukan peraturan yang sama dan ianya berjaya mengurangkan isu tunggakan gaji dalam kalangan pasukan bertanding dengan cukup signifikan.
“Peraturan kawalan ekonomi ini adalah kejayaan untuk La Liga tetapi banyak persoalan yang saya terima tentang bagaimana ia diterima daripada kelab sebaik ia mula dilaksanakan?”
“Peraturan kawalan ekonomi adalah langkah yang terbaik dan ia bukan sesuatu yang kelab perlu mengeluh meskipun ia akan diperkenalkan dalam Liga Malaysia kerana peraturan sama kepada semua kelab.”
Rossi turut memuji usaha yang dilakukan oleh MFL dengan terbang ke Sepanyol untuk belajar mengenai cara menjadikan Liga Malaysia lebih baik.
Beliau membayangkan situasi ekonomi pasukan Liga Malaysia akan lebih baik selepas peraturan ini diperkenalkan pada musim hadapan.
Untuk rekod, La Liga memperkenalkan peraturan ini dan ianya berjaya menghapuskan bebanan hutang sebanyak €90 juta pada 2012 kepada sifar pada 2017.