Wajarkah Pemain Denmark Diminta Teruskan Perlawanan Selepas Kejadian Ngeri Menimpa Eriksen?

Denmark Christian Eriksen

Letakkan diri anda sebagai Pemain Denmark. Selepas berdepan dengan kejadian ngeri melihat Christian Eriksen secara tiba-tiba rebah di atas padang disebabkan serangan jantung ketika aksi menentang Finland tempoh hari, adakah anda mampu untuk terus bermain seperti biasa?

Sungguhpun pemain berusia 29 tahun itu telah sedar dan dalam keadaan stabil di hospital, keputusan UEFA untuk meminta juga perlawanan telah dikritik hebat kerana dianggap tidak sensitif dan mengabaikan mental serta emosi pemain.

Badan penganjur kejohanan Euro 2020 itu dikatakan menawarkan dua pilihan kepada pemain sama ada teruskan juga perlawanan pada Sabtu malam itu, atau menyambung semula perlawanan pada Ahad jam 12.00 tengah hari.

Lalu UEFA kemudian memutuskan untuk menyambung semula perlawanan selepas mendapat “persetujuan kedua-dua pasukan”.

Kendatipun begitu, dua orang bekas pemain antabangsa Denmark, Peter Schmeichel dan Michael Laudrup dalam kenyataan mereka kepada BBC telah mengkritik keras UEFA yang menganggap ia keputusan yang tidak berperikemanusiaan.

“Ini satu keputusan yang tak masuk akal oleh UEFA, mereka sepatutnya cuba untuk melakukan sesuatu yang berbeza apabila berdepan dengan senario seperti ini dan tunjukkan sedikit rasa belas ehsan, tetapi mereka tidak,” ujar Schmeichel yang anaknya Kasper beraksi selaku penjaga gol utama ketika kejadian berlaku.

“Sesuatu yang dahsyat seperti ini berlaku dan UEFA memberikan pilihan kepada pemain, teruskan beraksi atau sambung semula pada jam 12.00 tengah hari esok. Apa jenis pilihankah ini?”

Selepas tertangguh beberapa jam, perlawanan akhirnya bersambung pada jam 8.30 malam dan berakhir dengan kemenangan 1-0 berpihak kepada Finland hasil jaringan Joel Pohjanpalo pada minit ke-60.

Schmeichel yang menjadi sebahagian daripada skuad Denmark yang menjuarai Euro pada 1992 menegaskan perlawanan tersebut sepatutnya tidak diteruskan ketika mental dan emosi pemain telah cedera teruk.

“Tak sepatutnya permainan malam itu diteruskan. Tiada seorang pun pemain di atas padang berada dalam emosi serta pemikiran yang stabil untuk terus bermain bola sepak.”

Sentimen dan pendapatnya itu turut disokong oleh Laudrup yang merupakan legenda bola sepak Denmark selepas melihat bagaimana semua pihak tidak kira pemain, pegawai serta penyokong termasuk keluarga Eriksen mengalirkan air mata kerana tidak mampu mengawal emosi.

“Apabila perkara seperti ini terjadi, emosi anda tidak terkawal dan anda tidak mempunyai kemampuan untuk membuat sebarang keputusan penting,” ujar Laudrup.

“Seharusnya ada pihak yang menentukan sama ada perlu diteruskan sekarang atau berhenti di sini. Mereka kononnya diberikan pilihan, tetapi pada saya itu bukanlah pilihan.

“Bermain terus malam ini atau sambung esok jam 12.00 tengah hari, maaf, saya anggap ia bukan pilihan.

Persatuan Bola Sepak Denmark telah mengesahkan Eriksen yang berada di hospital kini sedar dan bersedia untuk menjalani ujian serta pemeriksaan lanjut oleh pakar.

“Christian Eriksen dalam keadaan sedar dan stabil. Dia masih dirawat di hospital di Rigshospitalet untuk pemeriksaan lanjut.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Euro 2020:

Simon Kjaer Adalah Bukti Pentingnya Pemimpin Hebat Dalam Pasukan

Penyokong England Cedera Parah Jatuh Dari Tingkat Atas Stadium Wembley

EURO 2020: Belanda Tewaskan Ukraine Dalam Perlawanan Penuh Menghiburkan

Leave a Reply