Wajarkah Khairul Helmi Diberikan Peluang Kukuhkan Benteng Kedah?

Khairul Helmi

Pertahanan kental Kedah, Renan Alves atau mesra disapa Pak Nan dikalangan penyokong Hijau Kuning bakal terlepas 3 perlawanan akibat layangan kad merah oleh pengadil. Ini berpunca daripada tindakan agresifnya menyerang Faizat Ghazli dengan menanduk muka penyerang PKNS itu di hadapan pengadil.

Kedah bakal berdepan dengan dua aksi getir dalam tempoh dua minggu ini apabila dijadualkan menentang pasukan berprestasi baik, Pahang dan peneraju liga ketika ini, Johor Darul Ta’zim (JDT). Ketiadaan Renan Alves yang telah beraksi baik untuk 5 perlawanan sebelum ini dilihat tidak kena pada masanya.

Siapa bakal mengisi kekosongan posisi pertahanan tengah yang ditinggalkan Renan Alves untuk tiga perlawanan menentang Pahang, JDT dan Kuala Lumpur?

Wajarkah pertahanan berpengalaman, Khairul Helmi Johari kembali diberikan peluang selepas menampilkan aksi hambar pada musim lalu?

Bertahan bukan kerja sendirian

Kedah bolos 49 gol dalam 30 perlawanan sepanjang musim 2018 menjadikan purata bolos 1.63 setiap perlawanan – bolos hampir 2 gol setiap perlawanan. Khairul Helmi dan pemain import, Alvaro Silva merupakan tonggak utama dengan masing-masing telah membuat lebih 70% penampilan.

Pengendali pasukan ketika itu juga adakalanya dilihat menagih khidmat Syawal Nordin dan Syazwan Tajuddin untuk mengisi posisi tersebut dalam beberapa perlawanan.

Adakah ianya semata-mata salah Khairul Helmi? Perbandingan dengan musim 2017, Kedah bertahan dengan lebih baik dan Khairul Helmi juga terlibat dalam lebih 70% perlawanan – jumlah penampilan yang hampir sama dengan musim lalu.

Menurut lagenda Kedah, Marlon Alex James ketika mengulas mengenai prestasi pertahanan pada musim lalu menerusi artikel ini, ‘bertahan sepatutnya tugas keseluruhan pasukan’.

Musim ini, gandingan antara Renan Alves, Shakir Hamzah, Rizal Ghazali dan Alif Yusof cuma melepaskan 1 gol daripada 5 perlawanan yang dilalui. Kehilangan Renan Alves sewajarnya tidak dijadikan alasan benteng akan mudah dirobek. Setiap pemain yang diturunkan wajar bertahan secara kolektif.

Transformasi Badd boleh pengaruhi Keon

Musim 2019 ini, Baddrol Bakhtiar telah dipertanggungjawabkan dengan dua perkara – mengetuai pasukan dan berubah ke posisi tengah bertahan. Daripada bermain di sayap yang memerlukannya menyusup masuk ke benteng lawan, Badd kini bertugas lebih ke bawah bersama pemain muda, Fadzrul Danel.

Kedua-duanya berjaya dikendalikan olehnya dengan cukup baik seiring dengan perubahan gaya permainan Helang Merah. Badd tampil lebih bergaya dan sangat menyerlah.

Sebagaimana Badd, Khairul Helmi atau Keon juga adalah salah seorang one-club men di Darul Aman – jiwa mereka sangat intim dengan pasukan. Jika Badd yang pernah melalui aksi suram pada musim lalu boleh kembali diasah oleh Aidil Sharin, mungkin Keon juga boleh disegarkan kembali prestasinya.

Kekurangan Kedah pada musim lalu bukanlah semata-mata dalam aspek bertahan. Krisis dalaman pasukan juga pasti menjadi menyumbang. Dengan semangat sepasukan yang dilihat kembali terjalin dan dikuatkan dengan semangat sayangkan pasukan, Khairul Helmi wajar diberikan talian hayat.

Keon vs Syazwan T vs Loqman Hakim

Melihatkan senarai pemain pertahanan yang didaftarkan, Syawal Nordin dan Syazwan Tajuddin adalah pemain yang boleh dan pernah beraksi di pertahanan tengah. Kedua-duanya berusia 25 tahun, menjadikan mereka bukanlah prospek masa depan Helang Merah untuk ditonjolkan pada musim ini.

Dengan Syawal Nordin yang dilihat masih dalam proses pemulihan dan berlatih berasingan daripada rakan-rakan sepasukan, menjadikan hanya Syazwan Tajuddin satu-satu pilihan untuk bersaing dengan Keon. Namun, jangan dilupakan pemain-pemain muda yang Kedah miliki di ‘stor simpanan’ mereka.

Menurut khabar daripada Darul Aman, pertahanan dan juga kapten skuad B-21, Loqman Hakim Marzuki ketika ini sedang berlatih bersama skuad utama menjadikan dia juga sebagai pilihan tambahan buat Aidil Sharin untuk menentukan gandingan kepada Shakir Hamzah untuk dua perlawanan getir selepas ini.

Beraksi baik dalam saingan Piala Presiden 2019, Loqman Hakim berjaya memimpin rakan-rakan sepasukan untuk meraih 4 mata dalam 2 perlawanan setakat ini. Selain itu, Loqman turut berada dalam radar ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee dan pernah dipanggil ke kem skuad B-23.

Walaubagaimanapun, jika Syazwan Tajuddin dan Loqman Hakim tidak mempamerkan yang mereka layak untuk berada dalam kesebelasan utama, sudah pasti pengalaman akan mengatasi segalanya dan untuk itu, Khairul Helmi adalah calon pasti.

‘Everyone deserves a second chance’

Setiap orang harus diberikan peluang untuk berubah. Begitu jugalah Khairul Helmi yang sudah pasti bukanlah pemain yang digemari oleh segelintir penyokong Kedah pada saat ini. Jangan dilupa, dia pernah dijulang dan menjadi kapten kental buat skuad Helang Merah pada musim 2016 dan 2017.

Dalam dua tahun tersebut, Kedah berjaya menjulang tiga kejuaraan iaitu Piala Sumbangsih 2017, Piala FA 2017 dan Piala Malaysia 2016.

Musim lalu sudah disejarahkan. Barisan pemain kesebelasan utama juga hampir keseluruhannya berwajah baharu. Jiwa dan semangat juga dilihat semakin mekar mewangi. Oleh itu, Khairul Helmi juga perlu diberikan peluang untuk kembali ke skuad utama. Cuma, gunakan peluang yang diberikan ini sebaiknya.

Menentang Pahang dan JDT dilihat bukanlah masa yang sesuai untuk membuat comeback, tetapi pastinya ia akan dikenang jika comeback yang dilakukan disempurnakan dengan aksi terpuji oleh bekas pemain skuad kebangsaan itu.

Penutup

Khairul Helmi, Syazwan Tajuddin atau Loqman Hakim? Siapa pun yang bakal terpilih wajar mengambil peluang terbaik ini untuk memikat Aidil Sharin dan para penyokong.

Aidil Sharin Sahak. FOTO: Kedah FA

Membuat kemunculan dengan aksi terpuji untuk perlawanan yang sukar, ia bakal diingati dan memungkinkan nama mereka untuk terus bersama skuad utama musim ini dan seterusnya.

Ini adalah sebahagian daripada bola sepak, pemain utama disisihkan kerana faktor teknikal ataupun taktikal; bermakna ini peluang kepada pemain lain untuk membuktikan sesuatu. Jika diturunkan, Khairul Helmi perlu menggunakan kesempatan yang ada untuk membuktikan beliau masih ada ‘peak’ dalam dirinya.

Sebagai penyokong Kedah, adakah anda akan memberikan Khairul Helmi peluang untuk menebus semula kekhilafannya pada musim lalu? Atau anda ingin melihat kelibat pemain lain untuk bergandingan dengan Shakir Hamzah?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN