Wahai Dollah Salleh, Mengapa Anda Takut Bereksperimen?

Esok (Jumaat) pasukan Liverpool FC akan menentang pasukan Pilihan Malaysia yang dilatih oleh ketua jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh.

Dan seperti perlawanan Pilihan Malaysia menentang Tottenham Hotspurs dua bulan lalu, perlawanan menentang Liverpool ini mendapat tentangan daripada sebahagian pasukan-pasukan Liga Super dan peminat bola sepak tempatan. Ini kerana perlawanan pertunjukan seperti ini hanya menganggu persiapan pasukan Liga Super menjelang baki 7 perlawanan.

Perlu diingat, 5 perlawanan tersebut berlangsung dalam masa 2 minggu, bermula dari 1 Ogos ini iaitu lebih kurang seminggu dari sekarang.

Perlawanan-perlawanan pertunjukan ini juga tiada apa-apa faedah buat pemain pasukan kebangsaan. Memberi pendedahan kepada pemain? Pemain kebangsaan kita sudah pun berpengalaman menentang pasukan-pasukan besar dari Liga Perdana Inggeris dan Sepanyol. Tetapi pasukan kebangsaan kita masih lagi bergelut di peringkat Asia Tenggara.

Jadi anda perlu faham mengapa peminat bola sepak tempatan menentang perlawanan-perlawanan ‘sarkas’ sebegini.

Persiapan Dollah Salleh

Sebagai persiapan menghadapi Liverpool, Dollah Salleh hanya memanggil 10 pemain daripada keseluruhan 23 pemain skuad kebangsaan ketika 2 perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste dan Palestin.

Tiada pemain JDT yang masuk dalam senarai pilihan Dollah Salleh. Situasi ini menimbulkan banyak ruang spekulasi di kalangan media sukan dan peminat bola sepak tempatan – termasuk kami. (Apakah pendapat anda tentang hal ini? Tinggalkan komen anda di bawah).

3 pemain Selangor, Robert Cornthwaite, Ahmad Hazwan dan Afiq Azmi dipanggil oleh Dollah Salleh tetapi tidak dilepaskan oleh majikan mereka iaitu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). FAM menjanjikan hukuman kepada FAS atas tindakan mereka ini meskipun dari segi undang-undang FIFA – FAS langsung tidak bersalah.

11029651_1178740385485240_8490591426438986295_n

Tempat 3 pemain Selangor ini digantikan oleh Vincent Bikana (Terengganu), Christie Jayaseelan (FELDA United) dan S. Kumaahran (Harimau Muda B).

Selain Cornthwaite, Dollah Salleh turut memanggil 4 pemain import lain untuk melengkapkan bariasan 15 pemain tempatan iaitu Zah Rahan Krangar (FELDA United), Thiago Aquino Jr (Perak), Ali Ashfaq (PDRM) dan Dickson Nwakaeme (Pahang).

Bagaimanapun, Ali Ashfaq terpaksa diketepikan kerana kecederaan. Robert Cornthwaite tidak menerima pelepasan FAS. Dickson Nwakaeme pula tidak menerima pelepasan Persatuan Bola Sepak Pahang. Tempat mereka digantikan oleh Vincent Bikana (Terengganu), Chad Souza (Perak) dan Dramane Traore (PDRM).

Jika semua kerja penggantian pemain ini belum cukup memalukan Dollah, giliran Dramane Traore pula memohon untuk menarik diri kerana merasakan dirinya tidak cukup cergas. Tempat beliau digantikan oleh Patrick Ronaldinho (PKNS) yang bermain di Liga Perdana.

Bayangan taktikal Dollah

Jika alasan menganggu jadual Liga Super dan tidak memberi faedah kepada pasukan kebangsaan belum cukup untuk meyakinkan anda untuk mempersoalkan kewajaran perlawanan sarkas ini, mungkin perenggan di bawah boleh.

Seperti majoriti jurulatih bola sepak tempatan yang lain, Dollah Salleh tidak gemar berinovasi dari segi taktikal.

Dari segi pemilihan pemainnya, jelas Dollah mahukan seorang target man dalam pasukannya. Bermula dengan Dickson Nwakaeme, Dollah beralih kepada Dramane Traore sebelum terpaksa berpuas hati dengan Chad Souza.

Ini adalah petanda besar Dollah masih akan mengekalkan formasi 4-4-2 dengan gandingan target man dan second striker sebagai peneraju jentera seranganannya.

Peminat bola sepak tempatan sudah boleh menganggak corak permainan pasukan Dollah pada hari Jumaat nanti. Kami menjangkakan:

  1. pemain pertahanan akan diarahkan untuk membuat hantaran jauh untuk direbut oleh target man.
  2. taktik hantaran jauh ini menyebabkan pemain sayap seperti tiada fungsi untuk merancang serangan.
  3. taktik hantaran jauh ini juga menyebabkan ruang antara 4 pemain tengah dengan 2 penyerang menjadi terlalu besar. Pemain tengah Liverpool dijangka akan bermaharajalela di tengah padang kerana ruang yang besar ini. 2 penyerang Dollah menjadi terasing.
  4. pemain Dollah GAGAL menyimpan bola lebih daripada 4-5 hantaran kerana gagal menyimpan bola setelah ditekan oleh sistem heavy pressing oleh Liverpool.
  5. tiada larian sokongan daripada bek kanan dan kiri setiap kali pemain sayap memegang bola kerana Dollah mahukan mereka sentiasa membentuk back four yang rigid – sistem taktikal lapuk British yang tidak lagi digunakan walau oleh pasukan Scotland yang teruk.

Baca: Analisis Taktikal: Oman 6-0 Malaysia

Mengapa masih memanggil pemain yang sama?

Persoalan yang mahu kami timbulkan adalah: jika perlawanan ini diboikot oleh persatuan bola sepak negeri dan tidak signifikan pun dari segi ranking pasukan kebangsaan, bukankah ini masa terbaik untuk Dollah Salleh dan FAM untuk bereksperimen dengan pemain-pemain baru dan taktikal baru?

Bukankah Dollah Salleh dilantik untuk menggantikan K. Rajagobal yang langsung tidak gemar bereksperimen dari segi pemilihan pemain dan taktikal?

Dari segi pemilihan pemain, tiada rombakan besar yang dilakukan oleh Dollah seperti yang dicanang-canang media. Dollah hanya memanggil nama-nama pemain skuad kebangsaan yang tidak tersenarai dalam skuad 23 pemain menentang Timor Leste dan Palestin sebelum ini.

Daripada senarai tersebut, hanya 3 orang pemain (Nazirul Naim, Zubir Azmi dan S. Kumahraan) boleh dikategorikan sebagai pemain muda.

Dollah juga tidak mempunyai bek kanan sebenar kerana dua pemain yang boleh bermain di posisi itu – Razman Roslan dan Yong Kuong Yong – bermain sebagai pertahanan tengah di pasukan negeri mereka.

Bukankah dalam perlawanan ‘pendedahan’ sebeginilah pemain-pemain muda/pemain yang tak pernah mendapat panggilan diuji?

Kesimpulan

Walau apa pun keputusan pasukan pilihan Malaysia menentang Liverpool esok, ia tidak memberi sebarang manfaat kepada pemain skuad kebangsaan yang sudah biasa beraksi. Dalam perlawanan yang dilabel sebagai ‘perlawanan pendedahan’, peluang sebegini sepatutnya diberi kepada pemain-pemain muda dan muka-muka baru.

Perlawanan sarkas seperti ini ada juga kebaikannya. Mari kita berlaku adil. Kedatangan pelancong asing yang menyaksikan Liverpool bermain di Malaysia boleh menambah rizab mata wang asing negara.

Ini bermakna cadangan mengadakan perlawanan sarkasa ini boleh diterima – asalkan ianya tidak menganggu jadual persiapan pasukan liga tempatan dan peluang ini diberikan kepada muka-muka baru.

Sumber: Berita Harian, Four Four Two Malaysia, Bernama

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN