Pertahanan tengah Liverpool, Virgil van Dijk melontarkan pujian terhadap rakan sepasukannya Daniel Sturridge susulan jaringan gol penyelamat yang dihasilkan pemain tersebut pada pertemuan dengan Chelsea di Stamford Bridge baru-baru ini.
Menurutnya, gol yang terhasil bekas penyerang Chelsea pada penghujung babak perlawanan itu pengambarkan bahawa pemain itu adalah bakat yang sangat istimewa bertaraf dunia.
“Kami (Liverpool) mempunyai pasukan yang kuat, pemain berkelas dunia dan salah seorangnya adalah Daniel Sturridge,” puji Van Dijk menerusi Liverpoolfc.com
Penyerang kelahiran Inggeris ini terus menjadi tumpuan peminat tegar The Reds pada permulaan musim ini apabila beliau berjaya menampilkan persembahan yang menyakinkan dalam beberapa siri perlawanan sebelumnya.
Setakat ini Sturridge telah berjaya menjaringkan dua gol dalam lima penampilan beliau dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pemain gantian.
Pada pertemuan dengan Chelsea bagi saingan EPL minggu ke-7, Sturridge seperti biasa tampil sebagai pemain gantian.
Beliau masuk pada minit ke-86 menggantikan James Milner.
Berhadapan dengan Chelsea tidak menjadi masalah besar buat Sturridge apabila beliau hanya memerlukan masa tiga minit untuk menjaringkan gol penyelamat buat Liverpool.
“Saya tahu apa yang boleh dilakukan oleh Sturridge.”
“Dia kini berada dalam prestasi terbaik di sepanjang musim ini, “ujar Van Dijk.
Sebelum beraksi di Stamford Bridge, Sturridge turut berjaya merobek gawang The Blues dalam saingan Piala Liga di Anfield.
Dalam perlawanan tersebut, Sturridge telah berjaya menjaringkan gol gaya akrobatik di dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol kedua Chelsea, Willy Caballero.
Gol tersebut meletakkan Liverpool mendahului perlawanan pada minit ke-58.
“Saya sangat senang dengan Daniel Sturridge.”
“Dia sering memberikan gol penting bagi kami.”
“Dalam perlawanan besar, dia perlukan semua orang untuk memberi sokongan bagi menaikkan prestasinya, sekaligus melakukan yang terbaik demi pasukan.”