Marah Didenda Potong Gaji 2 Minggu, Virgil van Dijk Hantar Surat Permohonan Keluar Southampton

Tiada apa yang boleh dilakukan oleh Southampton bagi mengekalkan Virgil van Dijk dalam skuad mereka sekarang. Hal ini kerana pertahanan tengah Belanda itu telah menyerahkan permohonan pindah kepada kelabnya dalam usaha untuk keluar dari Southampton.

Van Dijk yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool, Manchester City dan Chelsea, berkata beliau rasa ‘marah’ dengan dakwaan Southampton yang mengatakan beliau tidak mahu berlatih.

Pada bulan lepas, impian pertahanan tengah berusia 26 tahun ini untuk berpindah ke Liverpool tidak menjadi berikutan laporan Southampton kepada Premier League. Southampton menuduh kelab Merseyside itu mendekati van Dijk dengan cara tak sah.

Laporan Southampton itu memaksa Liverpool untuk membuat permohonan maaf dan berjanji akan menjauhkan diri daripada bekas pemain Celtic tersebut.

Rasa hukuman kelab tak adil

Selepas Liverpool membuat permohonan maaf tersebut, Southampton menegaskan van Dijk tidak akan dijual walau sebanyak mana yuran perpindahannya pun.

Pengurus baru Southampton Mauricio Pellegrino mendedahkan kepada media bahawa van Dijk diarahkan berlatih secara berseorangan dan fikirannya tidak fokus untuk bermain dengan kelab.

Tetapi kini dengan van Dijk sendiri memohon untuk berpindah, dinamik situasi ini berubah 180 darjah.

Menulis dalam kenyataan medianya, van Dijk memberitahu Southampton tidak berlaku adil kepadanya:

“Dengan penuh rasa sedih, saya mengesahkan hari ini saya telah menghantar permohonan berpindah untuk keluar dari Southampton. Saya merasakan diri saya tiada pilihan lain selepas kelab memberi saya denda tanpa gaji 2 minggu.”

“Saya akan merayu kerana merasakan hukuman ini tidak adil. Kelab sendiri tidak mengikut protokol disiplin dalam menangani isu ini.”

Mahu bermain di Eropah

Van Dijk turut memberitahu beliau telah memaklumkan wakil ahli lembaga pengarah kelab, bekas pengurus Claude Puel dan pengurus baru Mauricio Pellegrino mengenai niatnya untuk bermain di Eropah.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

“Saya sangat bercita-cita tinggi dan mahu mencapai sebanyak kejayaan yang saya mampu untuk memenuhi potensi saya dalam karier pendek sebagai pemain bola sepak profesional.”

“Saya mahu bermain di peringkat Eropah dan mencabar kejuaraan utama. Saya mahu Southampton untuk mempertimbangkan minat kelab-kelab besar lain terhadap saya. Saya kecewa bila kelab tak membenarkan perpindahan saya.”

Van Dijk turut memberitahu dakwaan bahawa beliau tak mahu berlatih seperti yang dilaporkan oleh media UK adalah tak benar.

“Saya juga mahu menjelaskan bahawa dakwaan saya tak mahu berlatih itu tak betul. Sebagai seorang profesional, saya marah dengan laporan tersebut dan merasakan perlunya saya memberitahu perkara sebenar.”

“Saya harap dapat mengekalkan hubungan baik dengan semua orang di kelab, terutama sekali penyokong. Saya berterima kasih kepada semua warga Southampton kerana memberi saya peluang bermain di Premier League.”

“Bagaimanapun, masa untuk saya berhijrah dalah sekarang. Saya harap dapat bekerjasama dengan kelab untuk mencari penyelesaian menang-menang kepada semua pihak.”

Liverpool dilaporkan sanggup membayar rekod dunia yuran perpindahan untuk pertahanan – sekitar £60 juta – dan menawarkan gaji £200,000 seminggu untuk van Dijk.

Harga van Dijk mahal kerana beliau baru memasuki tahun pertama dalam kontrak barunya bersama Southampton. Dalam kontrak baru tersebut, van Dijk diikat sehingga tahun 2022.

Bagaimanpun sama ada Liverpool akan kembali memburu van Dijk atau tidak, itu persoalan lain yang tak mampu dijawab oleh sesiapa – kecuali Liverpool sendiri.

Sumber:

1. Mark Dobson (2017). Virgil van Dijk submits transfer request in bid to leave Southampton. The Guardian. https://www.theguardian.com/football/2017/aug/07/virgil-van-dijk-transfer-request-southampton-liverpool-manchester-city-chelsea

2. Rob Harris (2017). Virgil van Dijk statement on handing in transfer request. Facebook. https://www.facebook.com/RobHarrisReports/posts/760967357442025

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN