Pertahanan kental, Virgil Van Dijk melaungkan amaran bahawa Liverpool perlu berada di tahap terbaik untuk mendakap trofi Perisai Komuniti yang berlangsung hujung minggu ini.
Melihatkan kepada aksi Liverpool dalam perlawanan pra-musim, ia jelas meragukan buat juara Eropah tersebut dan Van Dijk sendiri mahu The Reds untuk segera bangkit.
Liverpool tewas pada tiga perlawanan bertemu Borussia Dortmund (2-3), Sevilla (1-2) dan 0-3 ditangan Napoli manakala mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika bertemu Sporting CP.
”Kami perlu berada di tahap tertinggi. Jika kami bermain seperti itu (ketika bertemu Napoli), kami tidak akan dapat memenangi Perisai Komuniti. Ia semudah itu.”
”Tetapi kami mempunyai seminggu yang baik untuk menyiapkan pasukan dengan satu lagi perlawanan persahabatan (menentang Lyon), ia bagus buat pemain-pemain yang baru sahaja tiba.”
”Kami pasti akan bersedia untuk menghadapi cabaran (Manchester) City.”
Perkembangan terkini di kem Liverpool itu bagaimanapun tidak menggusarkan pertahanan yang merupakan pemain skuad kebangsaan Belanda tersebut.
”Banyak perkara yang dapat dilihat buat pasukan ini. Ketika bertemu Napoli, kami mempamerkan bola sepak yang menarik dan itulah sebab kami merupakan juara Eropah.”
“Kami perlu tenang, kami mahu memenangi perlawanan, tetapi Napoli hanya sedikit lebih baik. Perkara yang terbaik ia adalah pra-musim.”
Perseteruan Liverpool dan Manchester City berterusan dalam saingan domestik apabila kedua-dua pasukan akan bertemu dalam Perisai Komuniti yang merupakan petanda saingan Liga Perdana Inggeris 2019/20 akan bermula pada minggu hadapan.