Pemain sayap lincah, Vinicius Junior mendapat pujian pengurus, Santiago Hernan Solari selepas beliau beraksi cemerlang dalam membantu Real Madrid menewaskan Deportivo Alaves 3-0 dalam saingan La Liga, awal pagi tadi.
Vinicius, 18 tahun, berjaya menjaringkan gol kedua perlawanan serta turut memulakan gerakan yang menjurus kepada jaringan pendahuluan oleh Karim Benzema.
Menurut sumber Goal, Solari turut mengakui bahawa rakan sepasukan Vinicius turut gemar untuk beraksi disampingnya.
”Dia telah beraksi dengan cukup hebat dalam perlawanan, Vinicius dan telah mendapat tepukan gemuruh di (Santiago) Bernabeu.”
”Dia memberikan tindak balas yang sangat baik ketika beraksi dan juga sewaktu sesi latihan.”
”Kami gembira dengan kedatangannya dan persembahan ditunjukkannya, dan dia sentiasa mendapat sokongan daripada pemain berpengalaman dalam pasukan, dimana mereka menjaga, menyukai dan mereka memberikan nasihat kepadanya.”
Sementara itu, Vinicius Junior menegaskan beliau tidak gentar dengan tanggungjawab besar yang disandarkan Solari bagi membawa cabaran kelab ternama di dunia seperti Real Madrid.
”Ia tidak menakutkan saya, saya bermain di Madrid, dalam pasukan terbaik di dunia, saya tidak takut dengan apa-apapun.”
”Saya bermain di mana jurulatih percaya ianya lebih baik, saya akan melakukan segala-galanya untuk membantu, di bahagian kanan, kiri atau di tengah, saya akan berterusan bekerja untuk memastikan kemenangan bersama Madrid.”
”Kami telah kembali cemerlang pada 2019. Ini merupakan masa terbaik sejak permulaan musim dan kami akan terus bekerja seperti ini untuk meneruskan jalan ini sehingga ke hujung musim.”
Selepas aksi terumbang-ambing sebelum ini, Real Madrid kini berada di landasan tepat untuk terus bersaing bagi merebut kejuaraan La Liga selepas menduduki tangga ketiga.
Skuad pimpinan Sergio Ramos ini ketinggalan dua mata dibelakang Atletico Madrid (tangga kedua) manakala lapan mata ditinggalkan musuh tradisi, Barcelona yang berada di singgahsana liga.