Individu penting yang membawa Luqman Hakim Shamsudin ke Eropah, Tan Sri Vincent Tan menegaskan bahawa penyerang muda itu sendiri perlu berusaha keras untuk berjaya sebagai pemain bola sepak profesional.
Luqman Hakim sebelum ini beraksi cemerlang dalam saingan Kejuaraan AFF B-18 2019 sekaligus membantu skuad negara meraih tempat kedua selepas tunduk 0-1 menentang Australia pada aksi final.
Aksi hebat ditampilkannya di Vietnam itu menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan yang turut mengharapkan agar Luqman dapat diserapkan ke skuad Sukan SEA 2019 [Filipina].
“Sebagai rakyat Malaysia, saya mesti cuba bantu rakan senegara saya. Kita mungkin sudah menemui pemain Malaysia yang boleh bermain di Eropah dan saya harap dia berjaya namun segalanya terpulang kepadanya,” kata Vincent bercakap kepada wartawan Berita Harian.
“Luqman mesti rajin berlatih, belajar bahasa Inggeris dan jangan mengaku kalah. Kamu (Luqman) berjaya atau tidak, terpulang kepada kamu.
“Kita boleh sokong, ajar dan pujuk tetapi yang mustahak kamu sendiri mesti ada rasa mahu berjaya.”
Semalam, Luqman Hakim telah menandatangani kontrak profesional bersama kelab divisyen satu Belgium, KV Kortrijk selama lima tahun.
Beliau akan berlatih bersama Cardiff City selama tiga bulan [Januari hingga Mac 2020] dan terus ke Belgium apabila usianya genap 18 tahun untuk kembara baharu dalam karier bola sepaknya.
Kredit foto: AFC