Hartawan Malaysia dan juga pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan tekad tidak mahu mengulangi kesilapan lampau dan sudah mempunyai perancangan untuk kelab miliknya, Cardiff City setelah mengesahkan tempat ke saingan Liga Perdana Inggeris musim depan.
Beliau terharu apabila dijulang oleh pemain dan penyokong, sebelum dipeluk jurulatih, Neil Warnock di hadapan ribuan penonton di Stadium Cardiff City selepas pasukannya mengesahkan tiket liga paling popular di dunia.
Cardiff layak selepas Fulham tumpas mengejut 1-3 di Birmingham pada hari terakhir Liga Kejuaraan, sekali gus membolehkan mereka muncul naib juara dengan 90 mata, sembilan mata di belakang Wolverhampton.
“Sudah sembilan tahun saya berada di sini. Kali pertama saya membawa masuk wang pada 2009.
“Saya akui, saya melakukan kesilapan awal ketika menukar warna (logo kelab) tetapi saya memperbetulkan kesilapan itu. Tiada lagi pertikaian tentang warna.
“Saya rasa, kelab ini sudah kembali bersatu. Semua orang menuju ke arah yang sama. Lembaga Pengarah, pasukan, peminat, media.
“Kami mahu semua orang berada dalam keadaan positif kerana ada banyak perkara positif di sini,” kata Vincent yang dipetik WalesOnline.
Vincent menganggarkan nilai terkini kelab adalah sekitar 190 juta pound (RM1.013 bilion).
Lima tahun lalu, Cardiff berjaya ke Liga Perdana tetapi kelab Wales itu hanya bertahan semusim selepas menduduki tangga tercorot dalam kempen 2013/2014.
Sementara itu, bekas pemilik Cardiff, Sam Hammam memuji Vincent dan ahli lembaga kelab yang jelasnya telah banyak belajar daripada kesilapan.
“Saya dapat melihat model Vincent Tan pada 2018 berbeza daripada 2013.
“Saya percaya, beliau lebih berpengalaman dan telah belajar daripada kesilapan,” kata Hammam kepada BBC Sport Wales.
Hammam memiliki Cardiff dari 2000 hingga 2006 tetapi meninggalkan kelab dengan hutang sebanyak 15 juta pound (RM80 juta) sebelum Vincent berjaya menyelesaikan hutang sepenuhnya pada 2013.
Beliau mengakui, Vincent melakukan kesilapan pada 2013 apabila melakukan beberapa pembelian besar pemain seperti Andreas Cornelius, Gary Medel dan Steven Caulker.