Jaringan tunggal menerusi ledakan padu Vincent Kompany membantu Manchester City catatkan kemenangan berharga 1-0 keatas Leicester City di Stadium Etihad, awal pagi tadi.
Kemenangan itu kembali meletakkan The Cityzens di tangga teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengumpul 95 mata, berkelebihan satu mata di depan seteru utama, Liverpool.
Ternyata persaingan yang cukup dihebat dipertontonkan kedua-dua pasukan bagi merebut mahkota kejuaraan liga musim ini.
Leicester City bagaimanapun sungguh liat untuk ditewaskan barisan anak buah Pep Guardiola pada perlawanan tersebut.
Penjaga gol, Kasper Schmeichel bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan yang dijelmakan terutamanya menerusi Sergio Aguero.
Anak kepada penjaga gol legenda dalam saingan EPL dan bola sepak dunia, Peter Schmeichel itu berjaya mengeluarkan bola hasil tandukan Aguero di atas garisan pada babak pertama.
Beliau juga turut cemerlang menangkis serangan Aguero pada babak kedua untuk menghadirkan kerisauan buat tuan rumah yang gagal menemui sentuhan jaringan sehingga minit ke-69.
Namun, segala-galanya berubah seminit kemudian apabila Vincent Kompany yang memiliki ruang yang cukup luas meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti Leicester City.
Rembatan tersebut gagal dihalang Schmeichel sekaligus memberikan jaringan pendahuluan buat Manchester City.
Pasukan pelawat yang sesekali melancarkan serangan masih tidak mampu untuk membolosi gawang City yang dikawal Ederson Moraes.
Jaringan tunggal Kompany itu kekal hingga tamat permainan bagi memberikan kemenangan ke-31 buat Manchester City.
Aksi EPL hanya berbaki satu perlawanan dengan Manchester City akan beraksi di gelanggang lawan berdepan Brighton & Hove Albion manakala Liverpool bakal melayani kunjungan Wolverhampton Wanderers.
Manchester City atau Liverpool yang menjadi pilihan anda untuk dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris 2018/19?