Bekas pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas mengaku terkesan dengan kemampuan yang dimiliki bintang muda Belanda, Frenkie De Jong.
Menurut Villas-Boas, De Jong memiliki tahap kualiti yang sama seperti yang dimiliki oleh bekas pemain Belanda iaitu Rafael van der Vaart dan Wesley Sneijder.
De Jong yang menjadi pemain utama Ajax sejak musim 2017/18 lalu semakin mencuri tumpuan selepas memainkan peranan penting dalam membantu kelab itu pada musim lalu.
Kecemerlangan De Jong membuatkan beliau kini dianggap sebagai salah seorang pemain muda berbakat di Eropah.
Maka tidak hairanlah jika Barcelona sanggup mengeluarkan dana besar bagi mendapatkan pemain berusia 21 tahun itu dengan harga bayaran sebanyak 75 juta euro (RM353.23 juta) serta bayaran tambahan berjumlah 11 juta euro (RM51.81 juta) kepada Ajax.
Seperti Rafael Van der Vaart dan Wesley Sneijder
Penampilan cemerlang yang ditunjukkan De Jong ketika mewakili kelab dan negara telah membuatkan Villas-Boas begitu terkesan.
Beliau memuji aksi dipamerkan pemain tengah ini yang dianggapnya mempunyai kemampuan teknik dan taktikal yang luar biasa.
“Dia [Frenkie de Jong] luar biasa. Saya menyukai pemain ini dengan kemampuan teknik dan taktikal mengatasi purata. Dia boleh membantu rakan-rakan di sekitarnya,” ujar Villas-Boas.
“De Jong memiliki kualiti tersebut, sama seperti pemain-pemain sekelas seperti Van der Vaart dan Sneijder. Dia pemain yang dapat mengawal bola dan mempunyai gaya bermain ala klasik Belanda.”
De Jong adalah salah seorang pemain penting di barisan Ajax musim ini. Beliau telah tampil sebanyak 39 perlawanan dalam semua pertandingan bersama kelab.
Data yang dikeluarkan Whoscored menunjukkan, De Jong sudah berjaya menjaringkan tiga gol dan melakukan dua bantuan gol. bersama Ajax.
Di pentas antarabangsa pula, De Jong mendapat peluang bermain bersama pasukan kebangsaan Belanda sebanyak tujuh kali dibawah kendalian Ronald Koeman.