Pemergian Diego Armando Maradona sememangnya merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat bola sepak dunia. Figura penting dalam membantu Argentina menjulang Piala Dunia 1986 itu disahkan meninggal dunia, malam tadi akibat serangan jantung.
Sebagai tanda penghormatan buat legenda kelahiran Buenos Aires itu, pengendali Marseille, Andre Villas-Boas memberikan cadangan kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) agar dapat menghapuskan penggunaan jersi nombor 10 yang cukup sinonim dengan mendiang sewaktu bergelar pemain.
Villas-Boas merasakan penghormatan tersebut perlu dilakukan kerana perkembangan mengejutkan itu merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat bola sepak di seluruh dunia.
”Ini merupakan berita yang sangat buruk,” ujar Villas-Boas menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Sama juga halnya ketika kami kehilangan Ahli Lembaga Pengarah [Porto] yang sangat penting buat saya, merupakan orang pertama yang membuka pintu bagi saya ke dunia kejurulatihan.”
”Dan [berita kematian] Maradona, ya ia merupakan berita yang cukup sukar diterima, saya ingin FIFA ‘mematikan’ jersi nombor 10 dalam semua pertandingan, untuk semua pasukan.”
”Itu akan menjadi penghormatan terbaik yang kita boleh lakukan untuknya. Dia merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat dunia bola sepak.”
Dalam perkembangan lain, Datuk Bandar Naples, Luigi De Magistris telah mengumumkan nama stadium bagi pasukan SS Napoli, San Paolo akan digantikan kepada nama legenda yang telah membantu kelab tersebut menjuarai dua gelaran Serie A itu.
Kredit featured image: Marcos Brindicci/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Diego Maradona:
Maradona Jr. Beri Amaran Kepada James Rodriguez Jangan Pilih Jersi No.10 Ikonik Bapanya
Maradona Minta Ronaldo Jangan Mengarut Iktiraf Diri Sendiri Terbaik Sepanjang Zaman