Quantcast

BERITA

Villarreal Harap Santi Cazorla Setuju Kekal Musim Hadapan

Laporan daripada Football Espana berkata Villareal kini dalam proses rundingan bersama pemain tengah, Santi Cazorla, dan berharap pemain itu terus kekal bersama mereka bagi menghadapi saingan pada musim hadapan.

Pemain berusia 34 tahun itu menyerlah bersama skuad yang dikenali sebagai ‘Yellow Submarine’ pada musim ini, tampil dalam 46 perlawanan di semua pertandingan.

Cazorla menandatangani kontrak selama setahun bersama Villareal pada musim panas lalu, selepas tidak beraksi selama 20 bulan akibat beberapa siri kecederaan yang hampir memusnahkan karier.

Ogos tahun lalu, bekas perancang Arsenal ini melakukan penampilan pertama selepas 636 hari tanpa sebarang aksi. Kali terakhir Cazorla beraksi sebelum menyertai Villareal ialah pada Oktober 2016 ketika masih bergelar pemain Arsenal.

Cazorla bukanlah watak asing di Villareal, setelah pernah beraksi selama tujuh musim keseluruhan di antara tahun 2003 sehingga 2011.

Pernah melalui sehingga lapan prosedur pembedahan utama, doktor perubatan pernah berkata Cazorla bernasib baik jika masih boleh berjalan akibat kecederaan.

Namun prestasi beliau musim lalu bukan sahaja memberi permulaan baharu di peringkat kelab. Kerana kecemerlangan bersama Villareal,

Cazorla turut mendapat panggilan skuad kebangsaan Sepanyol untuk perlawanan kelayakan Euro 2020 baru-baru ini. Malah Cazorla diberikan penghormatan sebagai kapten dalam perlawanan menentang Faroe Island.

Cazorla menerima bayaran €500k setahun beserta bonus untuk setiap perlawanan yang beliau tempuhi bersama Villareal pada musim lalu.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!