Video YouTube Ini Buat Owen Hargreaves Dapat Kontrak Manchester City

Selepas empat musim yang dibelenggu kecederaan di Manchester United, Owen Hargreaves menarik minat Manchester City untuk menandatanganinya dengan hanya sebuah video di YouTube. Siapa cakap kelab Premier League tak guna video YouTube untuk tandatangani pemain?

Semuanya bermula apabila pada Mei 2011, Sir Alex Ferguson mengumumkan beliau tidak akan melanjutkan kontrak Owen Hargreaves.

Tiada siapa boleh menyalahkan bekas pengurus Manchester United itu. Selepas berhijrah dari Bayern Munich, Hargreaves hanya mampu membuat 27 penampilan sepanjang empat musim bersama United.

Musim pertama Hargreaves bersama United sangat manis. Meskipun debutnya dicemari dengan kekalahan 0-1 kepada Manchester City, Hargreaves berjaya merangkul dua trofi pada musim pertamanya iaitu Premier League dan Champions League.

Dalam perlawanan akhir Champions League, Hargreaves bermain semua 120 minit perlawanan sebelum United muncul juara menerusi penentuan penalti. Pemain tengah England ini turut menjaringkan gol semasa penentuan penalti tersebut.

Nasib berubah selepas musim kedua

Bagaimanapun nasib Hargreaves berubah memasuki musim keduanya bersama The Red Devils.

Kecederaan patellar tendinitis berulang yang dimilikinya membuatkan beliau terlepas semua aksi musim 2008/2009. Sedangkan pada ketika itulah United menjadi juara Community Shield, League Cup, FIFA Club World Cup dan Premier League.

Hargreaves cuba berubat di London dan Sweden. Tetapi doktor masih lagi gagal mencari punca mengapa kecederaan patellar tendinitis itu berulang.

Hanya selepas berubat dengan pakar bedah kaki, Dr Richard Steadman di Amerika Syarikat, barulah punca kecederaan berulang itu dapat didiagnosis.

Kecederaan ini membuatkan Hargreaves terlepas 113 perlawanan dalam masa 20 bulan. Hanya pada Mei 2010, barulah pemain tengah ini dapat merasa bermain apabila dimasukkan pada masa kecederaan perlawanan terakhir musim 2009/2010 menentang Sunderland.

Memasuki musim terakhir, Hargreaves berharap mimpi ngeri kecederaannya berakhir untuk membolehkannya berbakti kepada United. Tetapi sekali lagi kecederaan sama mengecewakannya.

Pada aksi pertamanya di musim 2010/2011, Hargreaves hanya sempat bermain lima minit sahaja sebelum terpaksa digantikan oleh Bebe ketika menentang Wolves. Dan itulah aksi terakhir Hargreaves bersama The Red Devils.

Video YouTube pikat banyak kelab

Selepas Ferguson mengumumkan kontrak beliau di United tidak akan disambung, Hargreaves mengfokuskan usahanya untuk segera pulih dan dapat menarik minat kelab baru menjelang musim panas tahun 2011.

Walaupun media menjangkakan beliau mungkin terpaksa bersara kerana masalah kecederaan berulang, Hargreaves pantang beralah. Usaha kerasnya membuahkan hasil sehinggakan Dr Steadman memberitahu ‘kakinya boleh menahan impak lompat dari Eiffel Tower’.

Kenyataan media Dr Steadman ini menarik minat beberapa kelab yang mahu menandatangani Hargreaves. Tetapi mereka masih ada sedikit rasa ragu-ragu.

Keraguan ini hilang serta-merta selepas Hargreaves memuat naik video beliau menjalani latihan di treadmill di YouTube untuk membuktikan beliau sudah pulih.

Daripada berpuluh-puluh kelab yang menghampiri ejennya, hanya Manchester City yang menarik minat Hargreaves.

The Citizens pada ketika sedang mencari pengganti Patrick Vieira yang bersara dan Yaya Toure yang bakal meninggalkan pasukan ketika kempen Africa Cup of Nations pada awal 2012.

Ketika memeriksa keadaan fisiologi dan mental Hargreaves, doktor Manchester City, Phil Batty sangat terkejut. Kaki pemain tengah England itu tiada masalah lagi. Tetapi kekuatan mentalnya yang paling mengejutkan Batty.

“Menakjubkan melihat pemain yang dua musim diganggu kecederaan masih mempunyai rasa teruja nak main seperti budak 18 tahun,” kata Dr Batty dalam laman sesawang rasmi kelab.

Pada hujung Ogos 2012, Hargreaves akhirnya berjaya mendapat kontrak baru selama setahun bersama City.

Untuk membalas jasa City, Hargreaves menjaringkan gol pada debutnya ketika menentang Birmingham City dalam aksi League Cup. Gol tersebut boleh dilihat dalam video di bawah:

Pada akhir musim, City berjaya menjadi juara Premier League. Tetapi disebabkan beliau hanya membuat satu penampilan dalam liga, Hargreaves kempunan untuk mendapat satu lagi pingat juara Premier League.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Owen Hargreaves:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN