Skuad B-23 Malaysia kendalian Brad Maloney tersingkir daripada kejohanan Piala AFF B-23 di Kemboja selepas ditewaskan oleh Laos dengan agregat 4-1.
Penampilan skuad B-23 di Kemboja disifatkan sebagai amat mengecewakan kerana cabaran oleh Laos dianggap mudah berbanding gergasi Asia Tenggara yang lain seperti Vietnam atau pun Thailand.
Malah laluan Malaysia ke separuh akhir pada mulanya dianggap mudah selepas penarikan diri Myanmar dan Indonesia daripada akibat Covid-19, meninggalkan Laos sebagai satu-satunya pasukan yang perlu ditentang – sebanyak dua kali seperti mana yang ditetapkan penganjur.
Mimpi ngeri
Di sebalik segala keyakinan pasukan negara akan mendapat laluan mudah ke separuh akhir kejohanan, sebaliknya yang berlaku apabila Laos bimbingan seorang lagi jurulatih dari Australia, Michael Weis memberikan mimpi ngeri buat pasukan negara.
Daripada mengimpikan ke final pada 26 Februari akan datang, skuad kendalian Brad Maloney ‘bungkus awal’ seawal saingan peringkat kumpulan.
✨Here is the standings in Group B#Congralations Laos🇱🇦 advanced to Semi Finals of AFF U23 Champioship 2022 pic.twitter.com/tpvGcvqqVI
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) February 21, 2022
Dikejutkan 2-1 pada pertemuan pertama oleh Laos pada 18 Februari lalu, harapan penyokong bola sepak tempatan untuk melihat kebangkitan pasukan muda terus punah apabila tewas 2-0 pula pada perlawanan kedua semalam.
Dalam kedua-dua perlawanan, pasukan negara kelihatan buntu untuk memburu jaringan yang diperlukan. Malah ada ketikanya aksi hambar tanpa kreativiti disajikan. Pokoknya, segalanya mengecewakan.
Laos sudah tahu
Selepas mengejutkan pasukan negara dengan jaringan 2-1 – keputusan yang mengejutkan Michael Weis sendiri – Laos sebenarnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan untuk mematikan terus cabaran negara.
Berdasarkan perkongsian ‘team talk’ pasukan sebelum perlawanan, jelas kedengaran bagaimana Weis mahu barisan pemainnya sentiasa berkomunikasi satu sama lain untuk mengekang asakan pasukan negara.
“Komunikasi, inilah kuncinya di sini [perlawanan ini],” jelas kedengaran suara Weis melalui video yang dikongsikan oleh Persekutuan Bola Sepak Laos di media sosial.
“Mereka [Malaysia] yang berada di dalam tekanan. Semakin kita menhampiri kemenangan, semakin itu mereka tertekan. Kelebihan daripada segi psikologi adalah milik kita [untuk perlawanan ini].”
Usaha mengekang lawan untuk mendapatkan jaringan awal nyata membuahkan hasil apabila pasukan negara semakin tertekan sehingga dihukum sekali lagi pada babak akhir perlawanan.
Tiada alasan
Walau apa pun alasan yang diberikan atas kegagalan di Kemboha, rata-rata berpendapat pasukan negara sepatutnya mampu beraksi lebih baik dan mengelak daripada dimalukan oleh Laos.
Seperti pemain-pemain Malaysia, barisan pemain Laos turut beraksi di liga domestik di negara mereka sendiri. Malah liga bola sepak di Laos dianggap tidak sekompetitif Liga Malaysia kerana hanya terdiri daripada lima kelab yang bertanding.
Kerana itu, ia agak aneh apabila ada pihak yang menggariskan faktor pengalaman sebagai pemisah kepada pasukan negara dan barisan pemain Laos yang berjaya membawa negara mereka ke separuh akhir.