Quantcast

BERITA

VIDEO: Tandukan Mane, Jaringan Cantik Salah Lonjak Liverpool Selaku Pendahulu Liga

Jaringan cantik dan luar biasa Mohamed Salah membantu Liverpool untuk menewaskan Chelsea sekaligus melonjakkan kelab Merseyside itu ke kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan dua mata.

Lima tahun lalu Liverpool terlepas peluang terbaik untuk merangkul kejuaraan apabila tewas 2-0 dalam perlawanan sama – paling dikenang dengan aksi tergelincir kapten dan legenda, Steven Gerrard.

Anfield lega

Kali ini skuad kendalian Jurgen Klopp memastikan tiada lagi perkara serupa daripada berlaku dengan aksi meyakinkan untuk tiga mata berharga.

Selepas permulaan yang agak seimbang pada babak pertama perlawanan – dengan kedua-dua pasukan turut memiliki peluang – Liverpool tampil lebih tersusun di separuh masa kedua sebelum mendahului menerusi tandukan jarak dekar Sadio Mane.

Jaringan itu memberi kelegaan kepada jutaan penyokong The Kops bukan sahaja di Anfield, malah di seluruh dunia yang mula gelisah. Jaringan kedua oleh Mohamed Salah turut disambut dengan sorakan apabila rembatan kaki kiri dari jarak 25 meter menuju ke penjuru atas kanan gawang Chelsea. Ia adaah jaringan ke-19 EPL buat Salah musim ini.

14th April 2019, Anfield, Liverpool, England; EPL Premier League football, Liverpool versus Chelsea; Mohamed Salah of Liverpool celebrates scoring his team’s second goal with his team mates in the 53rd minute (photo by David Blunsden/Action Plus via Getty Images)

Rekod Chelsea lebur

Menuju perlawanan, Chelsea memiliki rekod yang baik ketika beraksi di Anfield. Mereka tidak pernah tewas di gelanggang keramat Liverpool itu sejak 2012.

Eden Hazard gagal menyudahkan peluang enam minit selepas jaringan Salah apabola percubaan beliau terkena palang, sebelum satu lagi percubaan dari pemain antarabangsa Belgium itu diselamatkan oleh Alisson.

Liverpool juga berpeluang melebarkan kedudukan selepas itu. Namun perkara yang dinanti-nantikan ialah tiupan wisel penamat oleh pengadil perlawanan yang meyakinkan The Kopites, penantian itu mungkin akan berakhir musim ini.

Tekanan kini kembali beralih kepada Manchester City yang merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace – namun perlu berhadapan dengan Manchester United untuk kelebihan satu perlawanan yang belum dimainkan oleh skuad kendalian Pep Guardiola.

Tatkala anak buah Guardiola turut perlu berhadapan Tottenham Hotspur, laluan buat Liverpool tampak semakin mudah selepas ini.