Skuad futsal negara gagal mengulangi kecemerlangan yang dilakarkan pada perlawanan pertama Kejuaraan Futsal AFC 2018 apabila tumbang 5-4 ditangan tuan rumah, Chinese Taipei pada aksi yang berlangsung malam semalam.
Selepas menewaskan Vietnam dalam aksi yang dramatik, kali ini giliran skuad negara pula dikecewakan menerusi jaringan minit akhir yang pahit untuk ditelan.
Walaupun ketinggalan 4-1 pada satu ketika, anak buah Chiew Chun Yong berupaya untuk menyamakan kedudukan dengan tiga gol berjaya dihasilkan menerusi ‘power play’ yang dimainkan sejak minit ke-33.
Lin Chih-Hung menjadi wira buat Chinese Taipei dengan meledakkan rembatan pada minit ke-39 untuk mengesahkan kemenangan buat skuad bimbingan Jose Adil Amarante itu.
Jaringan pasukan Chinese Taipei telah dihasilkan oleh Lai Ming-Hui (2 gol), Lin Chih-Hung (2 gol) dan Chi Sheng-Fa manakala Azwann Ismail, Awalluddin Mat Nawi (2 gol) dan Khairul Effendy Mohd Bahrin menyumbang gol buat skuad negara.
Kekalahan yang dialami bukanlah penamat kepada perjalanan skuad negara kerana masih berbaki satu perlawanan yang bakal dihadapi esok apabila Bahrain bakal menjadi cabaran terakhir skuad negara.
Sekiranya berjaya menewaskan Bahrain, skuad negara akan melakar sejarah melayakkan diri ke pusingan suku akhir buat pertama kali dalam pertandingan ini.
Foto: FAM