Sindrom Karius mulai merebak ke negara Afrika. Pada hari ini kesilapan-kesilapan mudah oleh penjaga gol begitu pantas dikaitkan dengan kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Liverpool yang kini beraksi secara pinjaman ke Besiktas.
David de Gea ketika bersama Sepanyol dalam aksi Piala Dunia di Rusia tidak terkecuali. Kini ia merebak ke Afrika?
Negara Mauritania merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Burkino Faso di pusingan kelayakkan Piala Negara-Negara Afrika 2019 pada Sabtu lalu.
Perlawanan Kumpulan I tersebut berlangsung di Stade Olympique, terletak di kota raya terbesar dan ibu negara kepada Mauritania, Nouakchott.
Kemenangan tersebut meletakkan Mauritania di tangga teratas Kumpulan I, manakala Burkino Faso jatuh ke tangga kedua.
Sebelum perlawanan di antara kedua-dua pasukan berlangsung, kedua-dua pasukan memiliki tiga mata setelah Mauritania menewaskan Bostwana 1-0, manakala Burkino Faso menewaskan Angola 3-1.
Namun apa yang menarik perhatian di dalam perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan ialah kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Burkino Faso, Herve Koffi yang mirip dilakukan oleh penjaga gol Liverpool, Loris Karius ketika tewas perlawanan akhir UEFA Champions League pada Mei lalu.
Koffi adalah penjaga gol pasukan simpanan Lille yang beraksi di National 1, Perancis. Setelah mendakap kemas percubaan dari pemain lawan, Koffi bertindak menyepak bola yang tepat terkena belakang belakang salah seorang rakan sepasukan.
Akibatnya, bola melantun kembali ke arah gawang, sebelum peluang disambar oleh penyerang Mauritania, Ismail Diakhite untuk gol pertama negaranya.
Dalam perlawanan akhir UEFA Champions League yang lalu, Karius bertindak melontar bola yang pantas dipintas mudah oleh Karim Benzema untuk gol pertama Real Madrid.
Mauritania kemudiannya terus di hadapan ketika babak pertama perlawanan hampir berakhir, dan sekali lagi Koffi dipersalahkan kerana posisi beliau di hadapan gawang.
Tatkalan pemain lawan melakukan cut back, anehnya Koffi tidak bergerak untuk menutup ruang di bahagian tengah, sebaliknya bergerak ke arah tiang gol.
Ini memudahkan Khassa Camara menolak bola masuk ke gawang kosong tanpa kawalan.
Walaupun Burkino Faso cuba bangkit dalam perlawanan ini, namun pertahanan Mauritania yang diketuai oleh pemain yang berpengkalan di Perancis, Abdoul Ba berjaya mengekang asakan dari Sanogo dan rakan-rakan beliau yang lain.
Saksikan dua kesilapan oleh penjaga gol Burkino Faso ini sehingga media di Afrika melaporkan ‘Syndrom Karius’ sudah mulai merebak di benua Afrika.