Real Madrid berjaya melonjak ke tangga ketiga La Liga selepas menumpaskan Leganes 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Estadio Butarque.
Real Madrid bagaimanapun dikejutkan seawal minit ke-6 menerusi Unai Bustinza yang menanduk masuk bola rendah hasil sepakan sudut yang dilakukan Javier Eraso.
Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Zinedine Zidane kembali memperkemaskan aksi mereka dan berselang lima minit kemudian, Lucas Vasquez berjaya menyamakan kedudukan setelah menerima hantaran dari Casemiro.
Gandingan Casemiro dan Vasquez sekali lagi memberikan impak yang positif buat Real Madrid apabila giliran Casemiro pula meletakkan nama selaku penjaring.
Gerakan cantik yang dimulakan Karim Benzema kepada Vasquez berjaya disudahkan dengan tenang oleh Casemiro untuk jaringan kedua sekaligus pendahuluan buat gergasi Sepanyol itu.
Jaringan ketiga menjelma pada minit akhir permainan selepas Mateo Kovacic dikasari dalam kawasan penalti tuan rumah.
Ketua pasukan, Sergio Ramos yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang untuk menamatkan permainan dengan keputusan 3-1 memihak buat Real Madrid.
Kemenangan ini merupakan yang kelima buat Madrid dalam enam perlawanan terakhir buat mereka dalam saingan La Liga.
https://www.youtube.com/watch?v=9rOhWVTeZc8