Real Madrid tidak berdepan masalah untuk melayakkan diri ke peringkat 16 terbaik dalam saingan Copa Del Rey selepas menundukkan pasukan divisyen 3, UD Melilla 6-1 di Santiago Bernabeu.
Kemenangan besar itu menjadikan kedudukan aggregit 10-1 selepas anak buah Santiago Solari itu menang 4-0 pada perlawanan pertama di gelanggang lawan.
Walaupun sudah mempunyai kelebihan empat jaringan, ia langsung tidak diambil mudah oleh para pemain Real Madrid yang diturunkan.
Ia terbukti apabila Los Blancos berjaya menjaringkan tiga gol dalam masa tujuh minit.
Marco Asensio membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi gerakan solo dari pemain berusia 22 tahun ini yang seterusnya melepaskan rembatan untuk gol pertama Real Madrid.
Berselang dua minit kemudian, Asensio sekali lagi meledakkan jaringan selepas beliau menyempurnakan peluang hasil gerakan yang dicipta pemain muda, Vinicius Junior dari sebelah kanan pintu gol UD Melilla.
Asensio kemudiannya melakukan hantaran lambung tepat yang membuka ruang buat pemain pertahanan, Javier Sanchez bagi mencipta jaringan ketiga pada minit ke-39.
Ketika aksi separuh masa kedua baru berusia tiga minit, Isco menggandakan kedudukan menerusi satu sepakan dari luar kawasan penalti yang terus menewaskan penjaga gol, Pedro Moreno.
Pemain berusia 18 tahun, Vinicius Junior meletakkan nama selaku penjaring gol pada minit ke-75 dan Isco menutup pesta jaringan menerusi gol kedua peribadi beliau ketika perlawanan berbaki tujuh minit untuk ditamatkan.