Raheem Sterling menjaringkan gol kemenangan bagi Manchester City melebarkan rekod tanpa kalah dalam semua 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini apabila pasukan itu bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Huddersfield 1-2 dalam perlawanan pada awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Pep Guardiola terlebih dahulu dikejutkan oleh gol sendiri pemain pertahanan daripada Argentina, Nicolas Otamendi pada minit akhir babak pertama perlawanan.
Gol sendiri tersebut menyaksikan perlawanan menentang Huddersfield adalah yang ke-3 menyaksikan Manchester City ketinggalan terlebih dahulu sepanjang kempen pada musim ini.
Bagi Guardiola, kemenangan tipis dalams perlawanan yang sukar seperti ini adalah lebih bermakna daripada ketika mereka membelasah lawan 4-0 atau pun 6-0, seperti mana ketika mereka meratah Watford dalam perlawanan yang lalu.
City tidak menunggu lama untuk bangkit apabila menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti penyerang Argentina, Sergio Aguero selepas 2 minit babak kedua bersambung.
https://www.youtube.com/watch?v=bl4V4AXprQY
“Kami perlu menang dalam perlawanan dengan cara yang sukar sebegini. Kemenangan sebegini akan menambahkan keyakinan, bahawa kami mampu melakukan apa sahaja pada bila-bila masa yang memerlukan.”
“Anda perlu berhadapan dengan perlawanan yang sukar seperti perlawanan ini. Untuk beberapa bulan sebelum ini, kami tidak mengalaminya. Ia adalah penting untuk menunjukkan kami mampu menang.”
“Kerana secara keseluruhan, setiap pemain dan pasukan telah menunjukkan prestasi yang baik.”
Kemenangan pada awal pagi tadi merupakan yang pertama sejak 1995, menyaksikan Manchester City bangkit untuk menang selepas ketinggalan kepada lawan selesai babak pertama perlawanan.
Manchester City mungkin harus menarik nafas lega selepas gol kemenangan oleh Raheem Sterling pada minit ke-84 perlawanan. Gol tersebut terhasil selepas bola melantun dari lutut pemain itu menuju gol selepas Jonas Lossl berjaya menampan bola terlebih dahulu.
Gol tersebut merupakan jaringan ke-12 Sterling setakat ini dalam semua perlawanan pada kempen musim ini. Ia adalah jumlah gol tertinggi yang pernah dijaringkan oleh Sterling sepanjang kariernya.
Gol tersebut juga bermakna Sterling telah membantu City mengumpul 7 mata dalam saingan UEFA Champions League (UCL) dan juga EPL, dengan jaringan pada tempoh 10 minit terakhir perlawanan.