VIDEO: Penyokong AS Roma Buatkan Claudio Ranieri Menangis

“Encik Ranieri, di saat kami sangat-sangat memerlukan bantuan, kamu ada jawapannya, sekarang kamu terimalah penghargaan daripada ‘rakyat'[orang] kamu.”

Itulah sepanduk dan ucapan penghargaan ditujukan oleh penyokong AS Roma yang membuatkan Ranieri sebak dan terharu dalam perlawanan terakhir Serie A.

Ranieri tidak dapat menahan air matanya dan melambai tangannya tanda menghargai ucapan itu. Beliau jelas tidak menyangka akan diberikan perpisahan seperti itu daripada penyokong AS Roma.

Claudio Ranieri menamatkan tugasan beliau di AS Roma dengan kemenangan 2-1 ke atas Parma di Stadio Olimpico.

Ranieri adalah pengurus yang kembali semula ke AS Roma ketika kelab itu dalam masalah prestasi dan memecat pengurus mereka.

Pada Mac lalu, Ranieri menggantikan Eusebio di Francesco selepas Roma disingkirkan Porto secara agregate dalam pusingan 16 akhir UCL.

Kehadiran Ranieri ketika itu disambut dengan ceria oleh penyokong AS Roma. Ramai juga yang berharap Ranieri akan kekal lebih lama.

Namun sebelum tamat musim 2018/19 AS Roma sudah mengeluarkan kenyataan bahawa Ranieri akan meninggalkan pasukan tersebut.

Penyokong AS Roma memang menggemari Claudio Ranieri. Hubungan rapat Ranieri dengan penyokong AS Roma sudah lama terjalin. Beliau memulakan karier dengan pasukan Roma ketika menjadi pemain.

Namun hubungan itu menjadi lebih erat apabila beliau menjadi pengurus AS Roma buat pertama kali pada 2009 sehingga 2011.

Apa yang pasti Ranieri akan sentiasa istimewa di hati penyokong AS Roma – dan penyokong AS Roma akan sentiasa istimewa di hati Ranieri.

Leave a Reply