Penjaga gol Newport County, Tom King mungkin menikmati detik terhebat dalam kariernya pada awal pagi tadi apabila beliau berjaya menghasilkan jaringan menarik dari jarak jauh ketika pasukannya bertemu Cheltenham Town dalam saingan Football League Two.
Gol tersebut sudah pasti mengingatkan kita kepada jaringan yang dihasilkan oleh bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Syamsuri Mustafa ketika aksi menentang Vietnam dalam temasya Sukan SEA 2003.
Selain itu, Tim Howard juga pernah melakukannya pada pertemuan Everton menentang Bolton Wanderers dan bekas penjaga gol Stoke City, Asmir Begovic ketika berhadapan Southampton. Lebih menarik, kedua-dua jaringan itu dihasilkan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).
Cuma ada perkara yang membezakan jaringan King berbanding tiga gol terdahulu itu kerana penjaga gol berusia 25 tahun tersebut mendapatkan jaringan ketika situasi beliau mengambil sepakan gol, dalam erti kata lain bola masih dalam keadaan statik.
😦😦😦
Newport County goalkeeper Tom King scored directly from his own enormous goal kick this evening to help his side draw with Cheltenham Town! pic.twitter.com/lEOz4VSi2i
— Sky Sports (@SkySports) January 19, 2021
Berbeza dengan Syamsuri yang melakukan sepakan ketika beliau sedang memegang bola manakala Howard dan Begovic pula menerima hantaran ke belakang daripada pemain pertahanan.
Bagaimanapun, tiada apa perlu dipertikaikan bagaimana cara gol tersebut dilakukan kerana keupayaan mereka jelas membuatkan peminat bola sepak teruja dengan jaringan yang mereka hasilkan.
Beraksi di gelanggang lawan, kem Newport County yang kini menghuni tangga kedua liga melonjak kegembiraan apabila sepakan gol dilakukan King melantun di hadapan kawasan penalti Cheltenham dan kemudiannya membuatkan penjaga gol muda tuan rumah, Joshua Griffiths lemas sekali gus hanya mampu melihat bola menerjah ke gawangnya pada minit ke-12.
Pemain sayap, Matty Blair bagaimanapun menyelamatkan maruah Cheltenham apabila kembali menyamakan kedudukan ketika aksi separuh masa pertama memasuki masa tambahan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.
Kredit featured image: Athena Pictures/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai fakta menarik bola sepak dunia:
VIDEO: Jaringan ‘Ajaib’ Syamsuri Mustafa Ketika Sukan SEA 2003
Sejarah Hitam Liverpool & Man United Terlibat Skandal Yang Mengemparkan Dunia Bola Sepak
Kenali 6 Bintang Dunia Yang Tidak Pernah Terima Kad Merah Sepanjang Karier