Jaringan daripada Mohamed Salah dan Virgil Van Dijk memberikan kemenangan ke-15 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Liverpool di Molineux Stadium, awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut terus meletakkan The Reds di hadapan menjelang perayaan hari Natal yang bakal berlangsung beberapa hari sahaja lagi.
Mata ke-48 selepas mengharungi 18 perlawanan itu bagaimanapun tidak mudah diperolehi oleh skuad bimbingan Jurgen Klopp yang beraksi dalam keadaan hujan.
Adama Traore menjadi ancaman terbesar buat Liverpool yang kerap mengkucar-kacirkan jentera pertahanan pendahulu liga tersebut.
Namun, penjaga gol kelahiran Brazil, Alisson Becker bertindak cemerlang mengawal pintu golnya bagi mencatatkan rekod tanpa dibolosi dalam 11 perlawanan liga.
Mohamed Salah membuka tirai jaringan pada minit ke-18 selepas beliau menolak masuk bola dengan baik menggunakan ‘outside foot’ hasil hantaran lintang dilakukan Fabinho dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah.
Salah kemudiannya membantu dalam penghasilan jaringan kedua yang menyaksikan Virgil Van Dijk pula meletakkan nama selaku penjaring kedua pada minit ke-68.
Liverpool kini berkelebihan empat mata di belakang Manchester City, namun juara bertahan itu kekurangan satu perlawanan dan akan bertemu Crystal Palace di laman sendiri, malam ini.