Barcelona tidak berdepan masalah bagi merakamkan kemenangan kesembilan dalam saingan La Liga selepas berjaya menang bergaya keatas Espanyol 4-0 di RCDE Stadium.
Kemenangan tersebut meletakkan The Blaugrana kini ditangga teratas saingan liga dengan mencatatkan 31 mata. Tiga mata dihadapan Sevilla dan Atletico Madrid.
Bintang terulung Barcelona, Lionel Messi hanya memerlukan 17 minit untuk membuka tirai jaringan selepas pemain kelahiran Argentina itu meledakkan sepakan percuma yang terus menerjah gawang tuan rumah.
Ousmane Dembele menjadikan kedudukan 2-0 berselang sembilan minit kemudian menerusi percubaan dalam kawasan penalti yang gagal dihalang penjaga gol, Diego Lopez.
Dua jaringan yang terhasil nyata masih belum cukup buat anak buah Ernesto Valverde apabila mereka menambah jaringan ketiga pada lewat separuh masa pertama menerusi Luis Suarez.
Hasil hantaran menarik daripada Dembele, Suarez melakukan gerakan solo seterusnya melepaskan rembatan yang melepasi celah kaki Diego Lopez untuk gol ketiga perlawanan.
Messi terus mempamerkan ketenangan dalam menyempurnakan sepakan percuma selepas beliau sekali lagi menewaskan Lopez menerusi situasi bola mati tersebut pada minit ke-65 untuk perlawanan berkesudahan 4-0 memihak Barcelona.