Satu persoalan yang kerap berlegar di ruangan komen setiap kali ada insiden membakar suar, pastinya ramai akan mempersoalkan bagaimana suar itu boleh lepas masuk ke dalam stadium?
Ini kerana setiap stadium sudah mengenakan kawalan yang ketat kepada penyokong yang masuk. Pintu masuk yang kecil untuk memastikan akses masuk boleh dipantau oleh pegawai keselamatan.
Di Tunisia, mereka berhadapan dengan isu suar yang agak teruk. Hampir setiap perlawanan akan ada suar dibakar oleh ultras.
Pelbagai tindakan telah diambil namun ianya seperti tidak memberikan kesan. Lalu sebuah stesen tv telah menjemput wakil ultras Tunisia untuk mendedahkan realiti di sebalik semua yang berlaku.
Banyak perkara yang mereka bincangkan termasuk konfrontasi di antara ultras sesama ultras dan juga dengan petugas keselamatan.
Kemudian, pengacara tersebut bertanya, bagaimana objek terlarang boleh dibawa masuk ke dalam stadium terutama sekali suar walaupun sudah ada kawalan ketat.
Wakil ultras itu berkata:
“Sewaktu kami masuk ke sini tadi, stesen tv ini dikawal ketat oleh petugas keselamatan. Mereka ada di mana-mana dengan alat pengesan (detector) yang banyak.”
Pengacara rancangan mengiyakan kenyataan itu.
Lalu mereka mengeluarkan suar dan menyalakannya di dalam studio tanda memberitahu yang mereka berdua tetap berjaya membawa masuk suar bersama-sama mereka. Pengacara itu hanya mampu tersenyum.
Apa yang cuba disampaikan oleh pihak ultras adalah sesuatu yang praktikal bagaimana mereka melepasi kawalan keselamatan di stesen tv.
Sentiasa ada beberapa kelonggaran di sebalik kawalan ketat yang boleh mereka manipulasi.