Pemain kelahiran Pulau Pinang, Faisal Halim adalah penyerang yang suka menyusup masuk ke dalam kotak penalti lawan dari sebelah sayap dan menyudahkannya dengan rembatan deras, itu adalah ‘trademark’nya.
Dengan lambakan penyerang import, Faisal Halim yang bertubuh kecil itu kini telah ditukarkan menjadi pemain sayap menyerang. Diketahui memiliki larian pantas, licik dan berani, beliau tidak kekok untuk bermain di posisi tersebut. Malah, dari hari ke hari, beliau semakin bertambah baik terutamanya dari segi variasi penyudahnya.
Pergerakan itu boleh dikatakan ‘trademark’ Faisal Halim. Ini diperkuatkan dengan sebuah rakaman video aksi jaringannya ketika berusia 17 tahun bersama skuad Piala Belia Pulau Pinang musim 2015, musim sulungnya bersama Pulau Pinang (kini Penang FC). Video hasil perkongsian penyampai sukan RTM, Zachki Ahmad Suri.
Titip Zachki di Facebooknya, “6 April 2015. Skil individu Faisal Halim ketika skuad Piala Belia Pulau Pinang menewaskan Perak di Stadium Mini Sungai Ara.” Dapat dilihat Faisal Halim yang menerima hantaran jauh membuat larian di sebelah kiri, menewaskan seorang pertahanan dan menyusup masuk ke kotak penalti.
Sebaik tiba ke dalam kotak penalti, Faisal Halim membuat helahnya dengan memperdayakan pertahanan serta penjaga gol yang meninggalkan gawang sebelum melepaskan rembatan deras menggegar jaring lawan.
Musim itu juga menyaksikan Faisal Halim mendapat debutnya bersama skuad senior Pulau Pinang di Liga Premier dan melakar gol pertamanya dalam saingan Piala Malaysia ketika mereka tewas 2-3 kepada PDRM.
Itulah musim debutnya dan musim terakhirnya di Pulau Mutiara apabila pada musim 2016, beliau dilamar Pahang (kini Sri Pahang) untuk bersama mereka selama lima musim. Dalam usia yang masih muda, Faisal Halim tetap diberikan kepercayaan bermain dengan membuat lebih 80 penampilan sepanjang lima musim.
Beliau berhijrah ke Terengganu FC pada musim 2021 dengan sasaran untuk menambah koleksi penampilannya dengan beraksi di pentas Piala AFC. Namun, saingan Piala AFC 2021 Zon Asean terpaksa dibatalkan akibat ketiadaan tuan rumah disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda serata pelusuk dunia pada saat ini.
Begitupun, ia tidak menyekat kemampuan dirinya. Beliau menyerlah dalam saingan Liga Super 2021 dengan membantu Sang Penyu menamatkan musim di kedudukan ke-4. Beliau adalah antara dua pemain berusia bawah 23 tahun yang beraksi dalam semua perlawanan liga bersama Quentin Cheng dari Penang FC.
Pemain sayap Terengganu FC Faisal Halim dan pertahanan Penang FC Quentin Cheng mahu akhiri aksi ke-22 masing-masing dengan kemanisan. Mereka antara pemain yang belum terlepas satu perlawanan musim ini selain dua pemain KL Daniel Ting dan Kevin Ray Mendonza.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) September 11, 2021
Merekodkan 1609 minit permainan, pemain yang mesra disapa Mickey itu berjaya melakar empat gol. Beliau turut dipanggil untuk menyertai skuad Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan. Biarpun tewas, penampilannya di Amman, Jordan itu telah mendapat pujian daripada semua.
Pulang dari tugasan antarabangsa, beliau semakin menjadi dan meledak gol dalam hampir semua aksi di Piala Malaysia termasuklah dua gol di peringkat suku akhir, menewaskan Sarawak United dengan agregat 6-3. Malah pengendalinya, Nafuzi Zain turut berkata beliau berbangga dengan perkembangan kariernya di Terengganu.
Beliau merupakan antara 28 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan untuk Piala AFF Suzuki 2020 pada Disember depan. Di usia 23 tahun, ini adalah penampilan sulungnya di saingan rantau Asean dan masa yang sesuai buat dirinya untuk menempa nama selaku penggempur yang perlu diperhatikan nanti.