Pemain yang berkelana di Jepun bersama Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak, memastikan peluang pasukan negara untuk mara ke separuh akhir Piala AFF B-22 terus menyala, selepas jaringan minit ke-86 pemain tersebut memastikan Malaysia mengikat Indonesia 2-2, untuk meraih satu mata berharga semalam.
Kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kedua di Stadium Olimpik Phno Penh semalam.
AFF U22 LG Cup 2019 – Group B – Result – Indonesia 2 Malaysia 2 pic.twitter.com/L3MUHwCDhN
— ASEAN Football (@AFFPresse) February 20, 2019
Peluang masih ada
Keputusan seri tersebut bermakna Malaysia masih lagi berpeluang mara ke peringkat seterusnya, dengan syarat menewaskan lawan terakhir di peringkat Kumpulan B, Myanmar esok.
Namun pada masa yang sama, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan di antara Indonesia dan pasukan tuan rumah, Kemboja yang setakat ini cemerlang dengan rekod dua kemenangan – termasuk menewaskan Malaysia 1-0 dalam aksi perlawanan pertama.
Peluang Malaysia secara automatik akan terpadam sekiranya Indonesia berjaya menewaskan Kemboja. Perlawanan tersebut akan diadakan di venue yang sama sebaik sahaja perlawanan di antara Malaysia dengan Myanmar yang dijadualkan berlangsung lebih awal selesai.
AFF U22 LG Cup 2019 – Current Standings pic.twitter.com/VHY15B07ZT
— ASEAN Football (@AFFPresse) February 20, 2019
Tiada jaringan
Ketiadaan beberapa pemain utama seperti R. Kogileswaran akibat kecederaan, dan Danial Haqim yang menjalani penggantungan memaksa Ong Kim Swee melakukan sedikit rombakan. K. Thivandaran, Nik Akif Syahiran dan Nabil Hakim Bokhari adalah tiga muka baru yang membarisi kesebelasan utama skuad negara untuk berhadapan Garuda Muda.
Malaysia mengancam dari awal perlawanan melalui tandukan Hadi Fayyadh, namum percubaan pemain itu berjaya dibaca oleh penjaga gol Indonesia, Satria Hardiyanto.
Beraksi di bawah cuaca panas sekitar 33 darjah celcius, menyaksikan benteng pertahanan negara hampir dihukum. Mujurlah percubaan Marinus Wanewar tersasar, takkala Haziq Nadzli sudah pun tertewas pada minit ke-39 perlawanan.
Tiga minit berselang, tiang gol pula menyelamatkan benteng pasukan negara setelah sepakan percuma oleh Lutfhi Kamal terkena tiang dan melantun keluar, dan babak pertama perlawanan berakhir tanpa sebarang jaringan.
VIDEO: Komen Datuk Ong Kim Swee selepas skuad Harimau Malaya B-22 bangkit dua kali untuk mengikat Indonesia 2-2 pada aksi kedua Kumpulan B, Piala LG B-22 AFF 2019 di Stadium Nasional, Phnom Penh, sekaligus Malaysia masih berpeluang ke separuh akhir.#FAM #HarimauMalaya #AFFU22 pic.twitter.com/Leg5G4CRFF
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) February 20, 2019
Bangkit melawan
Skuad kendalian Indra Sjafri tidak menunggu lama untuk merobek gawang pasukan negara, apabila Marinus berjaya meletakkan Garuda Muda di hadapan selepas tujuh minit perlawanan bersambung.
Enggan menyerah kalah, pasukan muda negara kembali bangkit menyamakan kedudukan, hasil sepakan percuma Nik Akif pada minit ke-61 perlawanan.
Witan Sulaeman kemudiannya mengembalikan pendahuluan satu gol buat Indonesia, selepas larian dari sebelah kiri pemain itu, disusuli dengan rembatan kencang kaki kanan deras, menewaskan Haziq di hadapan gawang gol.
Malaysia bangkit sekali lagi dalam perlawanan ini apabila Hadi Fayyadh menyempurnakan sepakan sudut di near post, untuk keputusan terikat 2-2 sehingga wisel penamat.
VIDEO: Astro Arena