Quantcast

BERITA

VIDEO: Kata-Kata Keisuke Honda Yang Menjadi Inspirasi Kemboja Hampir Kejutkan Bahrain

Tatkala tumpuan kita sejak Selasa lalu terarah kepada kemampuan skuad Harimau Malaya (ranking ke-159 FIFA) yang hampir mengejutkan UAE (ranking ke-65 FIFA), satu lagi pasukan dari Asia Tenggara turut memberi impak yang sama.

Kemboja menghasilkan satu lagi permainan yang dianggap berani di satu lagi perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 – walaupun tewas 1-0 kepada Bahrain.

Di atas kertas, Bahrain adalah pasukan yang menduduki tangga ke-109 dunia di dalam rangkin FIFA. Kemboja pula berada di kedudukan ke-170 dunia. Ia adalah satu perbezaan yang serba serbi ketara diantara kedua-dua pasukan.

Berada di dalam Kumpulan C, Kemboja memulakan kempen kelayakan mereka pada kali ini dengan mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong pada Khamis lalu. Namun demikian, Bahrain dianggap saingan yang lebih sukar.

Beraksi di hadapan kira-kira 45,000 penyokong sendiri di Phnom Penh, Kemboja tampil sebagai pasukan yang lebih menarik perhatian dengan pelbagai inisiatif untuk melakukan serangan ke kubu Bahrain.

Tatkala Kemboja dilihat mampu memperolehi satu lagi mata dari perlawanan ini, Bahrain berjaya mencuri salah satu peluang – jarang diperolehi – dalam perlawanan ini melalui Kamil Al-Aswad pada minit ke-78 perlawanan.

Kedudukan 1-0 memihak kepada Bahrain itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Walaupun tewas, penampilan oleh Kemboja dalam perlawanan ini mencuri tumpuan ramai. Skuad kendalian bekas pemain tengah AC Milan dan Jepun ini jelas tampil dengan taktikal perlawanan yang lebih teratur, dan yakin dalam setiap gerakan.

Dan rahsianya mungkin terkandung di dalam dua video yang dikongsikan oleh Honda melalui laman Instagram beliau ini.

 

View this post on Instagram

 

We are still in the process. @cambodianationalteam #thankyou #55,000 #supporters #stadium

A post shared by Keisuke Honda (@keisukehonda) on

Video pertama seperti di atas menampilkan bagaimana Keisuke Honda terus mendorong barisan pemain kendaliannya walaupun tewas kepada Bahrain.

Tetapi apa yang berlaku sebelum perlawanan – di sebalik projek yang cuba dibina oleh Honda untuk bola sepak Kemboja – benar-benar memberikan inspirasi.

 

View this post on Instagram

 

I’m sorry for my bad English. Hope you understand what I wanted to say. @cambodianationalteam #bahrain #10sep2019

A post shared by Keisuke Honda (@keisukehonda) on

Di dalam video di atas, Honda memberitahu pemain-pemainya untuk mengekalkan corak permainan yang telah diterapkan ketika latihan. Walaupun menentang pasukan yang lebih bagus, Honda tidak mahu Kemboja bertahan dan hanya mengharapkan serangan balas.

Malah Honda percaya corak permainan yang beliau terapkan mampu membentuk masa depan bola sepak Kemboja, sekaligus akan mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang menyaksikan perlawanan.

Sebagai Ketua Jurulatih, Honda juga mahukan pasukan Kemboja mulai melakukan perubahan dari segi mentaliti dan juga taktikal.

Antara petikan kata-kata pengendali dari Jepun itu kepada barisan pemainnya ialah:

“Saya bukan bercakap mengenai kualiti. Saya bercakap mengenai perkara di sini [jiwa]. Saya juga tidak bercakap mengenai kesilapan. Saya tidak pernah bercakap mengenai kesilapan. Tetapi jika anda takut, itulah perkara yang akan membuat saya marah.”

Buat Keisuke Honda dan skuad Kemboja, selamat maju jaya kami ucapkan.