Ia malam milik JDT. Dua gol, masing-masing oleh Hariss Harun dan Safawi Rasid pada 10 Julai yang lalu, mengesahkan JDT memperolehi kejuaraan ke-5 (CHAMPION5) secara berturut-turut Liga Super Malaysia (MSL) mereka.
Mentaliti juara. Mungkin itulah definisi paling tepat menggambarkan perjalanan JDT pada musim ini. Perjalanan mereka tidak mudah. Apatah lagi jika kita mahu mengambil kira permasalahan yang mereka hadapi pada musim ini.
Bezanya JDT tidak rapuh. Mereka juga tidak cepat melatah. Sebaliknya di bawah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), juara Piala AFC ini merapatkan saf dan menyusun strategi berikutnya.
Pasti akan ada yang mempersoalkan. JDT dibantu oleh Malaysian Football League (MFL) untuk mempercepatkan jendela perpindahan. JDT dibantu ini dan ini untuk muncul juara.
Hakikatnya, setiap pasukan yang bertanding melalui jendela perpindahan yang sama. Setiap pasukan yang bertanding juga melalui waktu rehat dan tempoh persiapan yang sama dek penangguhan perlawanan yang dijadualkan kembali.
Jadi apa masalahnya JDT tidak mampu dicabar oleh pasukan lain sejak lima musim yang lalu.
Musim ini, JDT dianggap melalui tempoh paling mencabar sejak beberapa musim yang lalu. Diheret kontroversi kehilangan Jorge Pereyra Díaz dari hotel penginapan di Singapura ketika saingan Piala AFC, selepas sebelum itu turut kehilangan pengendali pasukan, Ulisses Morais atas faktor kesihatan keluarga.
Bukan berniat merendahkan cabaran pasukan lain. Tetapi kenyataannya JDT berada setakuk di hadapan, baik dari segi kualiti dan mentaliti yang pemain-pemain mereka miliki.
Maka usah kita persoalkan jurang perbezaan mata di antara JDT dan pasukan yang bakal muncul naib juara MSL nanti. Ia adalah realiti jurang kualiti yang berada jauh dengan langkah terus ke hadapan.
Harapan kita cuma satu. Agar liga kita kembali kompetitif. Supaya tidak ada lagi yang mengadu hambar, dan tidak ada lagi di antara kita mengadu liga ini bosan.
Mampukah pasukan lain bangkit untuk mencabar JDT pada musim hadapan? Adakah strategi akan mulai disusun mulai sekarang? Atau adakah semua pihak akan berterusan sekadar gah di awal musim dengan pelancaran jersi, kemudian hanyut pasrah membenarkan JDT terus mendominasi?
Persoalan di atas wajar kita renungkan jika semua pihak benar-benar serius mahu membina kembali bola sepak negara. Untuk apa yang telah dicapai oleh JDT pada hari ini, kredit sewajarnya harus diberi kepada TMJ.
Kemenangan 4-0 ke atas Kelantan di Larkin pada malam tadi melengkapkan malam gemilang skuad Harimau Selatan. Kemenangan tersebut disusuli dengan sambutan gilang gemilang yang telah disusun oleh pihak pengurusan kelab sejak awal.
Saksikan sambutan ‘CHAMPION5’ oleh JDT pada malam tadi. Lambang dominasi tiada tandingan.
Tahniah buat JDT!!! Anda jaguh bola sepak negara!!!