Insiden pergaduhan sekali lagi berlaku membabitkan sesama para penyokong bola sepak tempatan, apabila kali ini ianya berlaku selepas perlawanan membabitkan antara Selangor dan Negeri Sembilan.
Perkara memalukan itu berlaku ketika perlawanan saingan Piala Malaysia peringkat suku akhir pertama selesai di perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan membabitkan sekelompok penyokong yang agak ramai.
Ianya berlaku disebabkan provokasi yang dilancarkan sesama mereka sendiri ketika itu sebelum perkara lebih serius seperti pergaduhan telah berlaku.
Hasilnya, pihak polis yang bertugas ketika itu terpaksa meleraikannya selain beberapa amaran turut diberikan untuk mengawal kembali suasana daripada menjadi semakin tegang.
Apa yang berlaku semalam boleh dianggap sangat tidak matang dan bakal memberi kesukaran buat penyokong Selangor lain yang bakal berkunjung ke gelanggang lawan untuk aksi seterusnya.
Ini kerana dikhuatiri insiden pergaduhan tersebut mungkin akan berlanjutan di Paroi pula kerana provokasi yang dilancarkan oleh kedua penyokong masing-masing.
Sebelum itu, beberapa pergaduhan membabitkan sesama penyokong juga pernah berlaku ketika saingan Liga Super berlangsung dan ini mungkin akan menjejaskan nama baik bola sepak negara di luar sana.
Antara yang tular ketika itu membabitkan insiden pergaduhan antara penyokong Kuala Lumpur City (KL City) dan Selangor pada 4 Mac lalu di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Pastinya insiden Tragedi Kanjuruhan yang berlaku di Indonesia pada bulan lalu perlu diambil pengajaran buat penyokong bola sepak tempatan setelah disebabkan pergaduhan sebegitu, nyawa turut melayang.
Pada aksi suku akhir pertama semalam, Selangor berjaya menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan penuh 2-0.
Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mempamerkan aksi yang cukup bertenaga untuk mengetepikan cabaran pelawat yang serba tidak menjadi sepanjang 90 minit aksi berlangsung.
Dua jaringan terhasil menerusi Herlison Caion dan Aliff Haiqal memastikan Selangor membawa bekalan agak selesa untuk bertandang ke Paroi bagi aksi timbal balik.
📹 HIGHLIGHTS: @selangorfc 2-0 @nsfc1923
Jaringan oleh Caion dan Aliff Haiqal memastikan Selangor akan membawa bekalan dua gol ke Paroi untuk aksi timbal balik.#TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/HylzfNeP79
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 6, 2022
Negeri Sembilan pula jelas perlu bekerja lebih keras pada aksi seterusnya itu di laman sendiri untuk mencipta kebangkitan agar peluang ke separuh akhir kembali cerah.