Dalam empat perlawanan di Piala Dunia 2022 setakat ini, Yassine Bounou hanya dibolosi satu gol – itupun gol sendiri oleh rakannya, Nayef Aguerd.
Penjaga gol Maghribi itu tampil cemerlang di gawang setakat ini dan membantu mereka mara ke suku akhir – menewaskan antara pasukan pilihan, Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti, awal pagi tadi.
Maghribi meneruskan kempen Piala Dunia mereka dengan kemenangan 3-0 ke atas Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan dalam 120 minit permainan yang telah dilanjutkan.
Dalam penentuan sepakan penalti itu, Bounou telah menyelamatkan dua daripada tiga sepakan penalti – Carlos Soler dan Sergio Busquets, selain beberapa aksi menyelamatkan yang cemerlang dalam perlawanan.
🚨🚨 WHAT A PERFORMANCE BY THE MOROCCAN SUPERMAN – YASSINE BOUNOU! 🇲🇦😍🇲🇦🫡👏👏
HE MADE SEVERAL CRUCIAL SAVES DURING THE NORMAL TIME & EXTRA TIME AND THEN HIS TWO PENALTY SAVES IN THE SHOOTOUT HAVE TAKEN MOROCCO TO THE QUARTERFINALS! 🫡❤️🇲🇦
WHAT A PLAYER! ❤️❤️ pic.twitter.com/tcpLZU0DZH
— AZR (@AzrOrganization) December 6, 2022
Menurut statistik sebelum sepakan penalti bermula, dilaporkan Bounou memiliki peratus menyelamat sepakan penalti lebih baik berbanding rakan sejawatnya di Sepanyol, Unai Simon. Simon merekodkan 21.4 peratus menyelamat berbanding Bounou yang mencatatkan 26 peratus, malah beliau turut telah mendepani lebih 22 penalti berbanding Simon.
Segalanya tidak bermula baik buat Sepanyol di perhitungan penalti itu apabila Pablo Sarabia gagal meledak untuk gol pertama Sepanyol diikuti dua aksi menyelamat oleh penjaga gol Maghribi berusia 31 tahun itu.
Beliau kini telah merekodkan dua daripada tiga ‘clean sheet’ yang dicipta Maghribi – Bounou tidak beraksi ketika mereka menang 2-0 ke atas Belgium. Menurut BBC, sebelum aksi berdepan Belgium, secara tiba-tiba beliau mengadu mengalami masalah di matanya walaupun dilihat sudah berada di tengah padang sebelum perlawanan tersebut bermula.
Setakat ini, penjaga gol England, Jordan Pickford mendahului carta ‘clean cheet’ untuk 3 perlawanan berbandingnya di kedudukan kedua keseluruhan.
Sebagai antara penjaga gol yang tampil cemerlang di Qatar setakat ini, beliau mungkin sedikit ralat apabila satu-satunya gol yang dilepaskannya adalah daripada rakan sepasukannya di benteng, Nayef Aguerd.
Pasti ramai tertanya-tanya, bagaimana Bounou boleh terlepas satu gol itu? Ia menyebabkan rekod baiknya sedikit tercalar berpunca daripada gol itu.
Ia berlaku ketika mengatasi Kanada 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan F.
Bek sayap Kanada, Sam Adekugbe melepaskan hantaran lintang rendah ke dalam kotak penalti yang tertampan oleh Aguerd untuk menewaskan Bounou yang hanya dapat menepisnya sedikit, namun tidak cukup untuk mengeluarkannya. Beliau hanya mampu merenung pasrah bola bergolek menggegar gawangnya, yang menjadi gol tunggal dilepaskannya setakat ini.
Sementara itu, menariknya ketika menewaskan Sepanyol, penjaga gol yang beraksi bersama Sevilla di La Liga itu berjaya menafikan secara mutlak usaha gigih ‘La Roja’ yang khabarnya berlatih bertubi-tubi sepakan penalti.
Katanya, 1,000 kali latihan sepakan penalti telah dilakukan Sepanyol.
Ia berpunca daripada masalah mereka yang sudah tiga kali tersingkir daripada Piala Dunia berpunca daripada penentuan sepakan penalti.
“Kira-kira setahun lalu, di kem latihan Sepanyol, saya katakan, mereka perlu lakukan sekurang-kurangnya 1,000 kali latihan sepakan penalti. Jika tunggu untuk berlatih di sini [Piala Dunia]..[tidak cukup],” ujar Luis Enrique.
Kini, Maghribi menjadi pasukan ke-4 yang telah singkirkan mereka menerusi sepakan penalti, ironinya selepas mereka dengan gigih melakukan latih tubi.
Dan Maghribi tentunya perlu berterima kasih kepada Yassine Bounou atas kekentalannya tidak melepaskan gol di penentuan penalti tersebut.
Untuk suku akhir Piala Dunia pada Sabtu, ‘The Atlas Lions’ bakal bertemu Portugal – yang cemerlang membenam Switzerland 6-1, malam tadi.