Paris Saint-Germain (PSG) mengalami kejutan yang jarang dihadapi apabila tumbang 1-2 dalam saingan suku akhir Coupe de la Ligue ketika berdepan Guingamp di Parc De Princess.
Kekalahan itu menamatkan rekod 49 kemenangan mereka dalam saingan piala domestik. Kali terakhir PSG tewas adalah pada Januari 2014.
Kejutan ini juga menggagalkan usaha PSG dalam merangkul kejuaraan Coupe de la Ligue buat kali keenam berturut-turut.
Kelebihan jaringan yang dihasilkan Neymar pada minit ke-63 tidak cukup untuk memberikan kemenangan mutlak buat PSG apabila Guingamp berjaya bangkit hasil dua jaringan pada lewat permainan.
Amat pedih untuk diterima pemain serta peminat PSG apabila dua jaringan tersebut terhasil menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Benoit Bastien buat pasukan pelawat.
Yeni N’Gbakoto dan Marcus Thuram tidak mensia-sia peluang yang dimiliki untuk malam gemilang buat Guingamp bagi mengatasi gergasi Perancis tersebut.
Kredit foto: OptaJean