[VIDEO]: Gol Roket Dari Jarak 36 Meter Park Tae-su Curi Perhatian FIFA

Pertandingan Piala Malaysia 2021 baru sahaja memasuki pusingan pertama, namun kita telah dihidangkan dengan beberapa gol menarik.

Jika hari pertama perlawanan diserikan dengan jaringan overhead kick Uche Agba untuk membantu Sarawak United mengejutkan Penang FC, perlawanan pada hari kedua pula menyaksikan gol cantik dari pemain Sabah FC, Park Tae-su.

Perlawanan pusingan pertama Kumpulan D menyaksikan pasukan dari kepulauan Borneo itu berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya untuk berhadapan PJ City FC.

Ia juga antara perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak dari negeri Sabah, memandangkan ia adalah perlawanan pertama yang akan dikendalikan oleh Ketua Jurulatih baharu pasukan itu, Datuk Ong Kim Swee.

Untuk rekod, Sabah FC tidak pernah menjuarai pertandingan Piala Malaysia, namun pernah melangkah ke perlawanan akhir sebanyak tiga kali iaitu pada 1996, 2002, dan musim 2003.

Dalam perlawanan tersebut, Sabah FC mendahului PJ City FC pada minit ke-20 perlawanan hasil sepakan percuma dari jarak 36 meter, disempurnakan oleh pemain import dari Korea Selatan, Park Tae-Su.

Ia terhasil dari rembatan deras kaki kanan pemain itu, menyebabkan bola terlebih dahulu terkena palang gol sebelum menewaskan penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz.

Seperti dijangka, jaringan menarik yang dihasilkan Park Tae-Su itu mendapat perhatian ramai terutama daripada peminat bola sepak tempatan dan media.

Turut tidak ketinggalan berkongsi jaringan tersebut di laman sosial adalah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Tunduk hormat, Park Tae-su! Tiada perkara lain seperti gol roket dari jarak 40 ela yang mengenai palang dan menerjah jaring. Satu lagi perkara untuk dicatatkan di dalam buku sejarah Sabaf FC,” tulis kapsyen di perkongsian tersebut.

Walaupun dihiasi dengan gol cantik dari Park Tae-su, Sabah FC akhirnya terpaksa pasrah pulang dengan satu mata apabila PJ City FC bangkit menyamakan kedudukan melalui Darren Lok pada minit ke-80 perlawanan.

Ia masih keputusan yang baik bagi pasukan dengan gelaran skuad badak itu memandangkan ia adalah perlawanan di tempat lawan.

Sabah FC bagaimanapun harus memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri selepas ini untuk memastikan laluan ke pusingan seterusnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN