Lionel Messi telah dinafikan satu gol disebabkan oleh kekurangan teknologi garisan gol ketika Barcelona terpaksa sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Valencia pada awal pagi tadi.
Percubaan bintang dari Argentina itu selepas 30 minit perlawanan pada separuh masa pertama gagal ditampan kemas penjaga gol Valencia. Ulang tayang di kaca televisyen jelas menunjukkan bola tersebut telah melangkaui garisan gol.
Namun tanpa sebarang pilihan untuk merujuk kepada ulang tayang, pengadil perlawanan Ignacio Iglesias tidak memberikan gol kepada Barcelona dalam perlawanan yang diadakan di Estadio Mestalla itu.
“Ia adalah kesilapan keputusan oleh pengadil. Saya yang berada di tengah padang pun boleh melihat dan memastikan ia adalah gol,” ujar Jordi Alba yang menjaringkan gol penyamaan buat Barca pada minit ke-82 perlawanan.
“Kami melihat kembali ulang tayang gol tersebut pada rehat separuh masa. Ia sangat jelas adalah gol. Jika pengadil membuat keputusan yang tidak memihak kepada anda kerana kekasaran, ia boleh difahami. Itu kerana pengadil mungkin memiliki pandangan lain.”
“Namun menafikan gol sebegini, ialah perkara lain. VAR adalah salah satu pendekatan yang boleh membantu bola sepak dan mengubah kesilapan oleh pengadil seperti pada malam ini.”
“Kami mengawal perlawanan. Selepas mereka mendahului, mereka cuba memerangkap kami melalui serangan balas pantas. Ianya tidak mudah untuk bermain di sini. Valencia beraksi dengan baik pada musim ini.”
https://www.youtube.com/watch?v=wxqxsOPj9T8
“Di atas kertas, Valencia juga boleh memenangi gelaran liga dan merupakan salah sebuah pasukan yang akan mencabar untuk kejuaraan.”
“Namun buat masa ini, mereka berada di tangga kedua, dan kempen musim ini masih panjang,” ujar Jordi Alba selepas perlawanan.
Valencia mendahului perlawanan pada minit ke-60 melalui jaringan pemain kelahiran Brazil, Rodrigo. Namun bantuan gol oleh Lionel Messi membantu Barcelona mengikat kedudukan melalui jaringan Jordi Alba pada minit ke-82 perlawanan.
Kedua-dua pasukan terus menerajui kedudukan La Liga dengan Barcelona memiliki kelebihan 4 mata ke atas Valencia. Manakala Atletico Madrid dan Real Madrid mengekori rapat masing-masing dengan 27 mata di tangga ke-3 dan ke-4, berbeza hanya 4 mata di belakang Valencia.