AC Milan menamatkan rentetan 4 perlawanan tanpa kemenangan mereka selepas merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Chievo, hasil persembahan berinspirasi oleh Suso dalam aksi Serie A awal pagi tadi.
Anak buah Vincenzo Montella hanya mengutip 1 mata daripada 4 perlawanan terakhir Serie A sebelum perlawanan awal pagi tadi menentang Chievo.
Tugas Montella menjadi bertambah sukar apabila Leonardo Bonucci memulakan hukuman penggantungan 2 perlawanan beliau selepas mendapat kad merah kerana menyiku pemain Genoa sebelum ini. Jack Bonaventura dan Andrea Conti pula disisihkan.
Chievo memulakan perlawanan dengan mentaliti bertahan. Tetapi apabila Suso mempamerkan magisnya, tiada pertahanan di dunia mampu menanganinya. Pada minit ke-36, Suso melepaskan misil trademark kaki kiri beliau yang tepat menuju ke bucu atas pintu gol.
Suso turut terlibat dalam gol kedua AC Milan selepas pertahanan Chievo, Bostjan Cesar tertampan bola hantaran lintangnya.
Hakan Calhanoglu menambah gol ketiga AC Milan selepas separuh masa kedua bermula selepas memanfaatkan serangan balas pantas dari Franck Kessie.
Bagaimanapun kesilapan Kessie kemudiannya menghadiahkan gol saguhati buat Chievo hasil jaringan Valter Birsa.
Pada minit ke-64, Nikola Kalinic melengkapkan malam cemerlang buat AC Milan apabila tenang menjaringkan gol hasil hantaran Suso selepas melepasi perangkap ofsaid Chievo.
Kemenangan AC Milan ini bagaimanapun terpaksa dibayar dengan harga yang mahal selepas bek kanan mereka, Davide Calabria terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan kepala berikutan perlanggaran dengan pemain Chievo, Massimo Gobbi.
ACMilanChievo from Ahmad Muzammil on Vimeo.