Kumpulan penyokong garis tegar Ultras Malaya tidak syak lagi adalah kumpulan penyokong skuad bola sepak negara paling setia di negara ini.
Tanpa mengira di mana sahaja perlawanan membabitkan pasukan negara yang sinonim dengan panggilan Harimau Malaya- kehadiran mereka tetap ada untuk memberikan semangat kepada pasukan negara beraksi di atas padang.
Kehadiran mereka di Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 turut mulai dirasai seawal perlawanan pertama saingan peringkat kumpulan.
Bermula dari perlawanan pertama di Kemboja, Ultras Malaya terus setia di belakang pasukan negara ketika perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil tempoh hari.
Kehadiran mereka bukan sekadar mencuri penyokong bola sepak tempatan yang lain- malah turut menarik perhatian media antarabangsa.
Anda pasti masih ingat akan kain rentang ‘Berkorban Apa Sahaja’ yang direka khusus untuk memberikan penghargaan kepada enam anggota bomba yang maut ketika menjalankan tugas Oktober lalu.
Sejuta penghargaan kepada penyokong Ultra Pasukan Harimau Malaya di atas penghormatan kepada 6 Wira Merah yang terkorban semasa operasi menyelamat. Saya dan warga JBPM amat terharu dengan penghormatan ini pic.twitter.com/N5Fc4rHtp6
— YAS Datuk Mohammad Hamdan bin Hj. Wahid (@KP_bombaJBPM) November 12, 2018
Kain rentang tersebut turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Bomba Malaysia yang mengucapkan terima kasih kepada Ultras Malaya melalui satu muat naik di akaun twitter beliau.
Beberapa hari kemudian, kain rentang tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, dan turut direntangkan di hadapan premis jabatan berkenaan.
Untuk perlawanan di antara Vietnam dan pasukan negara, sekumpulan anggota Ultras Malaya turut akan berkunjung ke sana untuk memberikan sokongan.
Bagi mereka, ia adalah satu pengorbanan- dengan setiap perbelanjaan termasuk untuk tiket penerbangan dan penginapan semuanya dari poket mereka sendiri.
Semangat mereka untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara wajar dipuji. Kalau bukan kita sebagai rakyat Malaysia, siapa lagi?
Malah ketika berada di dalam penerbangan ke Hanoi, gelagat mereka menyanyikan chant Ekor Harimau Malaya turut mencuri tumpuan. Dianggarkan 200 kekuatan anggota Ultras Malaya akan hadir di Stadium National My Dinh pada malam ini untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara.
Bagi anda yang mahu turut bersama memberikan sokongan kepada pasukan negara di stadium dan merasakan sendiri kehangatan sokongan kumpulan Ultras Malaya- anda boleh berbuat demikian ketika Malaysia melayan kunjungan Myanmar pada 24 November akan datang.
Dapatkan tiket perlawanan seawal yang boleh di cawangan Al Ikhsan terpilih, dan jangan tunggu sehingga menjelang hari perlawanan untuk memudahkan diri anda. Bersediakah anda menjadi ‘Ekor Harimau Malaya’?
Saksikan rakaman video Ultras Malaya ketika berada di dalam penerbangan ke Hanoi.
Chant Ultras Malaya Dalam Penerbangan Air Asia Ke Hanoi from Ahmad Muzammil on Vimeo.