Quantcast

BERITA

VIDEO: Dua Kelab Manchester Sahkan Kemaraan Ke Pusingan Kalah Mati UCL 2018/19

Dua kelab Manchester – Manchester City dan Manchester United telah mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati pertandingan UEFA Champions League berbaki satu perlawanan di saingan peringkat kumpulan.

Tatkala Manchester City bergelut berhadapan tentangan Lyon untuk mengikat satu-satunya lawan yang pernah menewaskan mereka pada musim ini, Manchester City memerlukan sentuhan Marouane Fellaini untuk merekodkan kemenangan pertama di tempat sendiri dalam pertandingan tersebut.

Di Stadium Groupama

Pep Guardiola menyifatkan Lyon – kini menduduki tangga kedua Ligue 1 Perancis – sebagai salah sebuah pasukan yang paling sukar dihadapi oleh pasukan kendalian beliau, selepas menyaksikan City sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 di Stadium Groupama.

Lyon mendahului sebanyak dua kali sepanjang perlawanan, sebelum City berjaya memastikan keputusan seri 2-2, yang memadai untuk memastikan mereka layak sebagai 16 pasukan terakhir di pusingan kalah mati pertandingan eropah tersebut.

(Photo by Matthew Ashton – AMA/Getty Images)

Pasukan kendalian Bruno Genesio itu terlepas beberapa peluang keemasan untuk menghukum skuad kendalian Guardiola sebelum Maxwel Cornet meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan selepas lima minit separuh masa kedua berlangsung.

Pendahuluan tersebut hanya kekal selama tujuh minit sebelum pemain pertahanan Aymeric Laporte menyamakan kedudukan melalui tandukan buat City.

Cornet sekali lagi memberikan pendahuluan buat Lyon pada minit ke-81 perlawanan untuk memastikan pasukannya terus bersaing sebagai pendahulu Kumpulan F.

Namun sepertimana gol pendahuluan beliau, jaringan tersebut hanya bertahan selama dua minit, sebelum pantas dipadam oleh Sergio Aguero.

(Photo by Jean Catuffe/Getty Images)

“Kami berpuas hari dan gembira dengan keputusan ini,” ujar Guardiola. “Ia [keputusan] amat bererti untuk pasukan secara keseluruhan.

“Kami beraksi menentang salah sebuah pasukan yang paling sukar pernah kami hadapi. Mereka amat kuat dari segi fizikal, sebuah pasukan yang kuat, dan memilik tempo serangan pantas yang bahaya.

“Pemain segera bangkit selepas ketinggalan 1-0 dan kemudian 2-1. Kini kami sudah berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya – iaitu sasaran awal kami dari peringkat kumpulan.

“Sekarang kami wajib memburu satu lagi mata dari baki satu perlawanan peringkat kumpulan untuk memastikan kami muncul pemenang Kumpulan F.”

Di Old Trafford

Lupakan misi memburu kemenangan terlebih dahulu. Misi pertama Manchester United dalam perlawanan kelima Kumpulan H di UEFA Champions League ialah untuk tidak tiba lewat ke Old Trafford – setelah kelab itu didenda €15,000 oleh UEFA sebelum ini kerana tiba lewat sebelum perlawanan.

Misi kedua buat skuad kendalian Jose Mourinho ialah untuk memastikan mereka mampu menjaringkan gol – sesuatu yang sukar untuk mereka lakukan pada musim ini sehingga dilabel membosankan oleh majoriti penyokong setia di Old Trafford.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Dan masalah mereka di hadapan gol tampak akan berterusan dalam perlawanan ini setelah Marcus Rashford terlepas peluang keemasan untuk meletakkan United di hadapan seawal minit ke-5.

Peluang demi peluang terus terlepas pada babak kedua perlawanan tatkala Manchester United mendominasi 66% penguasaan bola. Antaranya, Mourinho turut terpaksa menyaksikan dengan kecewa bagaimana Rashford tergelincir di hadapan gol, dan Marouane Fellaini merembat tinggi bola di hadapan gol.

Walaupun Manchester United berterusan melakukan serangan dalam perlawanan ini, jelas sekali mereka mempunyai isu kreativiti untuk mencipta peluang terbuka –  sekaligus menimbulkan kekecewaan di kalangan penyokong yang hadir.

Kemasukkan Paul Pogba dan Romelu Lukaku dari bangku pemain simpanan turut tidak mengubah keadaan, dan keputusan seri tanpa jaringan tampak akan berulang – selepas Crystal Palace mengikat United di gelanggang yang sama pada hujung minggu lalu.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

Keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan ini juga bermakna United gagal menjaringkan sebarang gol di tempat sendiri sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan di pertandingan eropah buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka.

Mujurlah jaringan minit akhir di masa kecederaan oleh Fellaini berjaya mengelakkan mereka dari rekod tersebut – namun sebenarnya masih tidak cukup untuk memadam segala isu yang menghantui juara 20 kali Liga Inggeris itu sepanjang musim ini.

Indikasinya amat jelas isu itu seperti sudah mulai tidak boleh diterima penyokong apabila segelintir daripada mereka sudah pun meninggalkan stadium sebelum jaringan kemenangan oleh Fellaini.

Kemenangan tersebut bagaimanapun mengesahkan kemaraan United dari Kumpulan H, dan mereka masih berpeluang untuk muncul juara kumpulan dengan kemenangan ke atas Valencia, dan jika Juventus tewas kepada Young Boys dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!