Quantcast

BERITA

Video Dron Tunjukkan Padang Latihan JDT Miliki Garisan Menyamai Grid ‘Guardiola’s Pitch’

Antara perkara asas yang perlu dimiliki oleh sesebuah kelab bola sepak profesional ialah padang latihan.

Apa tidaknya. Di sinilah segala perancangan taktikal oleh jurulatih direncana sebelum perlawanan.

Tanpa padang latihan yang lengkap, ianya hampir mustahil untuk sesebuah pasukan bola sepak profesional beraksi dengan baik – walaupun mempunyai pemain berkelas dunia sekali pun.

Ini kerana arahan secara teori semata-mata (oleh jurulatih) tidak akan boleh diterjemahkan ke dalam permainan tanpa praktikal lengkap di atas padang, untuk menguji keberkesanan dan kecekapan permainan.

Padang latihan JDT

Tidak dapat dinafikan lagi JDT adalah sebuah kelab bola sepak yang memiliki kemudahan latihan serba lengkap di Liga Super Malaysia. Namun apa yang menarik perhatian kami baru-baru ini adalah garisan atau grid pada padang latihan – seperti yang dikongsikan oleh satu rakaman video, dipercayai diambil melalui dron.

When a normal view is just too mainstream

When a normal view is just too mainstream

#JDT
#TrainingSession
#PadangSeriGelam

Posted by JOHOR Southern Tigers on Sunday, August 18, 2019

Jika diteliti video melalui perkongsian di atas, grid yang terdapat pada padang latihan JDT ini dikenali sebagai grid ‘Guardiola pitch’ – dicipta oleh pengendali dari Catalan, Pep Guardiola ketika beliau masih bersama Bayern Munich.

Berikut adalah gambaran dari tangkap layar video yang diambil dari perkongsian JDT TV.

Jelas kelihatan grid pada padang latihan JDT.

Manakala di bawah ini pula adalah gambar padang latihan Pep Guardiola ketika masih bersama Bayern Munich yang terletak di di Sabener Strase.

Padang latihan Bayern Munich yang terletak di di Sabener Strase.
.

Untuk gambaran yang lebih jelas mengenai Grid padang Guardiola, berikut adalah lakaran penuh grid tersebut seperti yang pernah digambarkan oleh penganilisis Semuanya BOLA, Axello Tacts.

Lakaran grid padang Guardiola oleh Axello Tacts.

Jika diperhatikan, garisan grid di padang latihan milik JDT adalah sangat identikal dengan apa yang dihasilkan oleh Pep Guardiola yang kini merupakan pengurus Manchester City.

Apakah fungsi grid dalam latihan?

Dalam bolasepak, jurulatih perlu mengambil inisiatif untuk memberikan arahan secara zonal kepada pemain. Namun cabaran besar adalah, bagaimana hendak memberitahu pemain dengan lebih sistematik.

Ini kerana, permukaan padang yang luas dan tidak ada grid seperti mana American Football menyebabkan pemain kadang kadang menjalankan tugas dengan tidak begitu spesifik.

Anda boleh merujuk kembali artikel: Memahami Apa Itu Pembahagian 18 Zon Di Dalam Padang

Guardiola dan Van Gaal dikatakan mempunyai pembahagian box yang tersendiri. Mereka tidak terikat dengan pembahagian yang biasa atau universal seperti yang diterangkan.

Ini adalah contoh 18 zon gaya Van Gaal. Bezanya adalah, semua zon di sayap/flak dekecilkan dan semua zon di tengah diperbesarkan. Bila sampai ke Guardiola, beliau memecahkan zon ini sehingga ke 20 bahagian. Masih sukar untuk menjelaskan pernomboran di bawah sistem Guardiola.

Penerapan skema ini (menggunakan grid) setiap hari membolehkan pemain menggambarkan zon mereka apabila di padang sebenar. Jadi, setiap jurulatih biasanya akan memiliki grid mereka sendiri.

Apa yang boleh kita pelajari?

Melalui perkongsian gambar-gambar mahupun video oleh pasukan-pasukan di Liga Malaysia selama ini, grid padang latihan sebegini hanya boleh dijumpai di padang latihan milik pasukan dari selatan tanah air itu setakat ini.

Mungkin ada pasukan menggunakan kon dan sebagainya untuk menandakan grid padang masing-masing. Itu satu perkara yang kami tidak dapat pastikan. Namun apa yang kita lihat di padang latihan milik JDT ini, membuktikan pasukan dari Liga Malaysia turut tidak ketinggalan menerapkan aspek taktikal moden di dalam permainan.

Corak latihan menggunakan grid seperti yang dilalui oleh pemain-pemain JDT memberitahu bagaimana seriusnya setiap perinci permainan berasaskan taktikal bola sepak moden diterapkan oleh Benjamin Mora dan jurulatih-jurulatih lain di kelab tersebut.

Grid padang latihan JDT

Selain daripada untuk memastikan pemain memahami peranan masing-masing secara zonal, grid padang latihan sebegini turut melatih pemain mengawal fluidity dalam taktikal, mengawal posisi (positional) pemain, dan meningkatkan intensiti bermain bola sepak secara aktif secara pergerakan posisi.

Ia sekali gus turut akan membantu jurulatih untuk membentuk persefahaman jitu di kalangan pemain.

Rumusan

Harapan kami sedikit sebanyak artikel ini dapat membantu penyokong memahami corak permainan dan taktikal yang diterapkan oleh JDT.

Latihan taktikal sebegini juga menunjukkan revolusi taktikal di kalangan pasukan-pasukan yang bersaing di Liga Malaysia amnya.